
Takiyuddin berkata jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan oleh speaker Dewan Rakyat serta dianggotai Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok, merupakan saluran yang sepatutnya untuk meneliti perkara seperti itu.
Sebaliknya, katanya, kerajaan memilih menggunakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3), yang membenarkan urusan kerajaan dibentangkan tanpa notis.
“Kenapa saya tidak dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan? Pengerusinya ialah speaker, dan ahlinya datang dari kedua-dua pihak.
“Jadi, niatnya jelas untuk menggantung saya. Kenapa dinafikan hak saya di jawatankuasa hak dan kebebasan?” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin berkata beliau hanya bertanya mengenai SOP latihan agensi penguatkuasaan dan merujuk insiden di Rusila sebagai contoh bagi mendapatkan penjelasan daripada menteri.
“Kami tanya untuk mendapatkan penjelasan. Adakah kami tidak boleh lagi bertanya soalan di Parlimen. Kita bukan menghina atau memperkecilkan peranan jabatan kerajaan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dijangka membentangkan usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan susulan kenyataan yang dianggap ‘cubaan menakut-nakutkan orang awam’.
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada 22 Okt, Takiyuddin mendakwa satu kejadian membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, mencemarkan imej agensi berkenaan.
Beliau mendakwa bahawa 10 hingga 15 lelaki menaiki lima kereta telah ‘menyerbu’ masjid itu tanpa kebenaran, dan mempersoalkan sama ada ia satu ulangan tragedi Memali pada 1985.
Saifuddin kemudian menjelaskan bahawa perkara itu hanyalah salah faham yang telah diselesaikan pihak berkuasa, sambil menegaskan hanya enam anggota APMM singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat Asar ketika menjalani latihan.
Kampung Memali di Baling, Kedah, menjadi lokasi pertempuran berdarah pada 19 Nov 1985 apabila operasi polis ke atas kampung itu berakhir dengan 14 penduduk dan empat anggota polis terbunuh.
Kekecohan tercetus selepas penduduk kampung cuba menghalang usaha polis menahan guru agama dan pemimpin PAS tempatan, Ibrahim Mahmud, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan ajaran sesat — dakwaan yang ditolak PAS.