
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata permohonan untuk menangguhkan usul itu dibuat selepas mendengar hujah daripada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
“Kita memahami dan selepas dengar hujah semua dan menimbang hujah-hujah diberikan, maka bagi pihak kerajaan saya memohon supaya usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang,” katanya semasa menggulung usul untuk menggantung Takiyuddin di Dewan Rakyat.
Terdahulu, seramai empat Ahli Parlimen berbahas usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan. Empat Ahli Parlimen tersebut adalah Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, Takiyuddin, Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Takiyuddin yang juga ketua whip Perikatan Nasional (PN) memohon usul itu dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa. Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi.
“Berikan saya prosiding yang adil dan berikan saya hak untuk bersuara serta hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya ketika membahaskan usul itu.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata usul itu ditangguhkan pengundian dan terpulang kepada pihak kerajaan untuk teruskan atau tidak pada sesi akan datang.
Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa wakil rakyat pembangkang membantah usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan yang dibentangkan Shamsul.
Usul itu menyatakan, Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa Memali 1985 dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.
Ia juga mencadangkan supaya Takiyuddin digantung daripada sidang Dewan Rakyat dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.
Takiyuddin mengeluarkan kenyataan itu ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Okt.