
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yakin dua calon itu mampu bekerjasama dengan Presidennya, Anwar Ibrahim demi kepentingan parti.
“(Pemenangnya) mesti mampu memimpin kita ke PRU akan datang kerana itulah sasaran utamanya – untuk memenangi pilihan raya,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
“Pemimpin nombor dua kita mesti setia kepada parti dan tidak sepatutnya wajah baharu yang mahu mencuba nasib. Kita memerlukan orang yang mampu memimpin parti.”
Bagaimanapun, Chang berkata, segelintir pihak berhasrat menggambarkan pertandingan itu sebagai perpecahan antara penyandang Rafizi dan Nurul Izzah.
“Tiada krisis. Ini kebiasaan dalam pemilihan parti.”
Pertarungan sengit dijangka antara Nurul Izzah dengan Rafizi bagi merebut jawatan kedua tertinggi dalam hierarki PKR.
Timbul masalah teknikal dan dakwaan salah urus undi dalam pemilihan bahagian PKR baru-baru ini, seterusnya mencetuskan spekulasi puak tertentu tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rafizi dan mendesak Nurul Izzah mengambil alih.
Sabtu lalu, bekas naib presiden PKR, Tian Chua dilaporkan mendakwa pertandingan ini membayangkan parti itu sedang berdepan krisis peralihan kepimpinann.
Katanya, pelan peralihan sebenar sepatutnya melibatkan kerjasama kepimpinan lebih meluas, namun mendakwa perkara itu tidak berlaku dalam PKR disebabkan tindakan lompat parti sebelum ini dan jurang generasi ketara.
Tetapi, Chang berkata, orang awam cenderung melihat setiap pemilihan parti sebagai yang paling teruk berbanding sebelumnya.
Katanya, perbalahan yang dijangka berlaku susulan perebutan jawatan itu antara Rafizi dan Saifuddin Nasution Ismail pada 2022 langsung tidak berlaku.
“Orang ramai sangka kali ini perpecahan akan berlaku dalam parti, tetapi hakikatnya kita akan tetap kembali bersatu.
“Kita bercakap tanpa berdalih, tetapi tidak mengambil hati. Kita ada perkara lebih penting untuk diselesaikan berbanding isu tidak penting,” katanya yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.
Chang yang juga ketua PKR Tanjong Malim akan mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti 23 Mei ini.
Beliau berkata, Rafizi dan Nurul Izzah berpengalaman luas, setia serta sudah lama bersama PKR.
“Kedua-duanya berkemampuan dan banyak menyumbang kepada parti.”