Mana prinsip Sabah untuk Sabah, soal pemimpin PN

Mana prinsip Sabah untuk Sabah, soal pemimpin PN

Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee dakwa prinsip negeri itu layak dipimpin parti tempatan boleh diubah pentadbiran Anwar Ibrahim di persekutuan.

kiandee
Ronald Kiandee mempersoalkan ketepatan slogan Sabah untuk Sabah susulan perkembangan terkini membabitkan kerjasama GRS, PH dan BN.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee mendakwa sentimen negeri itu hanya untuk parti tempatan sebagai slogan politik semata-mata bagi kempen PRN.

Naib presiden Bersatu itu mempersoalkan ketepatan slogan berkenaan susulan perkembangan terkini membabitkan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun ada desakan mengatakan Sabah hanya layak dipimpin parti tempatan tetapi ternyata PMX (Anwar Ibrahim) boleh ubah penjajaran prinsip itu dalam tempoh 24 jam.

“Jadi, di mana ketepatan slogan mereka di mana negeri tidak tunduk kepada Kuala Lumpur (pusat)? Nyata mereka tiada kuasa malah dikawal untuk tentukan hala tuju politik sendiri,” dakwa Ahli Parlimen Beluran kepada FMT.

Bagaimanapun, Pengerusi GRS Hajiji Noor semalam menekankan sebarang kerjasama dengan BN-PH seperti dicadangkan perdana menteri, Ahad lalu akan diputuskan Majlis Tertinggi komponen itu.

Jumaat lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Hajiji dalam kenyataan susulan tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.

Bagaimanapun, dua hari kemudian Anwar berkata beliau mencadangkan kerjasama itu turut membabitkan GRS untuk memastikan kestabilan politik di peringkat persekutuan dan negeri.

Kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah turut dicadangkan Timbalan Pengarah Operasi pilihan Raya PN Annuar Musa.

Katanya, tindakan itu sebagai isyarat menyokong Sabah mempunyai ‘payung’ mereka sendiri.

Beliau secara peribadi turut berpandangan pilihan lain adalah PN memberi laluan kepada GRS.

Bagaimanapun, Kiandee menepis cadangan itu dan meminta Annuar tidak terperangkap dalam membuat kenyataan segera berhubung cadangan kerjasama PN-GRS pada PRN.

Menurutnya, ini kerana dinamik politik Sabah yang sentiasa berubah setiap hari menyebabkan sukar mana-mana pihak termasuk PN membuat pendirian tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.