Ada usaha kumpul SD, tapi naratif diputar belit, kata Wan Saiful

Ada usaha kumpul SD, tapi naratif diputar belit, kata Wan Saiful

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu yang mengesahkan langkah itu berkata beliau akan memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin parti.

Wan Saiful Wan Jan
Menurut mesej tular di WhatsApp, Wan Saiful Wan Jan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu hari ini atas dakwaan mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengesahkan terdapat usaha mengumpul akuan berkanun (SD) daripada ketua bahagian menjelang perhimpunan agung tahunan (PAT) parti 9 Sept lalu.

Tetapi, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, naratif itu ‘diputar belit’ pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar.

“Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar, tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutarbelitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai,” katanya menurut Malaysiakini.

Wan Saiful berkata, beliau dijadualkan menghadap Lembaga Disiplin tengah hari ini.

“Bukan seperti yang dimanipulasi sesetengah pihak dan ini akan diperjelaskan kepada Lembaga Disiplin. Saya akan jelaskan kepada Lembaga Disiplin.

“Saya rasa Lembaga Disiplin ini ada, saya pun tidak tahu siapa ahli Lembaga Disiplin. Harap di kalangan mereka (buat) pertimbangan yang rasional.”

Satu mesej tular WhatsApp mendakwa Wan Saiful dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu hari ini di bawah Perkara 23 perlembagaan parti itu kerana didakwa mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin menerajui Bersatu.

Dilaporkan hanya beberapa jam sebelum ucapan dasar Muhyiddin pada PAT Bersatu, 122 daripada 169 ketua bahagian makan tengah hari 5km dari Pusat Konvensyen Ideal, tempat perhimpunan itu diadakan.

Muhyiddin kemudian mengakui dalam ucapan dasarnya, terdapat komplot mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.

Namun, PAT diakhiri dengan kedudukan Muhyiddin terjamin selepas perwakilan sebulat suara mengesahkan beliau sebagai calon perdana menteri parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.