
Sebagai ‘orang parti’, katanya, beliau sentiasa meletakkan kepentingan parti serta negara mengatasi segala-galanya, lapor Bernama.
“Saya ingin mengesahkan bahawa saya akan kekal bertanding bagi jawatan naib presiden PKR,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa yang sebelum ini tewas pada pemilihan ketua cabang.
“Pemilihan kali ini bukan sekadar soal pertandingan, tetapi merupakan amanah besar untuk memastikan idealisme Reformasi terus subur ketika kita sedang diuji dengan kuasa.”
Dalam kempennya untuk mempertahankan jawatan naib presiden, Nik Nazmi menawarkan tiga agenda utama, iaitu meneruskan program Felo Keadilan untuk melahirkan pemimpin muda berwibawa, memantapkan sistem perkaderan dan pendidikan politik, serta menyusun dan menyiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU16.
Selain Nik Nazmi, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun turut menyatakan hasrat mempertahankan jawatan naib presiden.