Pemimpin PKR, Amanah setuju cadangan bubar Parlimen serentak DUN

Pemimpin PKR, Amanah setuju cadangan bubar Parlimen serentak DUN

Langkah itu dikatakan boleh meningkatkan peratusan keluar mengundi, di samping menjimatkan wang parti politik dan kerajaan.

voting
Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli kata pilihan raya serentak akan memudahkan rakyat.
PETALING JAYA:
Pemimpin Amanah dan PKR bersetuju dengan cadangan membubarkan Parlimen serentak dengan DUN Melaka, Johor dan Sarawak.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli, percaya langkah itu akan dapat membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi, manakala Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata ia akan mengurangkan perbelanjaan parti politik dan menjimatkan wang kerajaan.

Menurut Juwairiya, pilihan raya berasingan melibatkan enam negeri sebelum ini, serta di Melaka dan Johor, menunjukkan peratus keluar mengundi yang rendah.

“Rakyat perlu tunaikan hak mereka memilih kepimpinan. Jangan disusahkan dengan beberapa kali pilihan raya kerana terbukti ia tidak begitu menguntungkan juga,” katanya kepada FMT.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook semalam berkata partinya cenderung pilihan raya serentak diadakan bagi mengurangkan kos.

Dilaporkan DUN Melaka akan bubar secara automatik pada Disember tahun depan, Sarawak pada Februari 2027 dan Johor pada April tahun sama. PRU16 pula mesti diadakan selewat-lewatnya Februari 2028.

Menurut Mahfuz, cadangan supaya pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN kembali diadakan serentak pernah dicadangkan sebelum ini.

“Kita telah merasai bagaimana wang negara dibazirkan begitu besar apabila banyak pilihan raya diadakan secara berasingan,” katanya.

“Saya harap semua parti baik peringkat pusat dan negeri harus punyai pemikiran sama. Kalau ada negeri nak buat asing, ia tak mendukung penjimatan wang negara,” katanya.

Mahfuz menambah membubarkan Parlimen lebih awal bukan perkara baharu dan pernah dilakukan.

“Kalau nak buat serentak, PRU dijangka paling awal diadakan hujung tahun depan dan penggal Parlimen tamat hujung 2027, jadi awal setahun. Jadi tak beza dan beri kesan sangat kepada pentadbiran di Putrajaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.