‘Jangan mimpi BN nak serah kerusi menang’, Akmal bidas DAP Melaka

‘Jangan mimpi BN nak serah kerusi menang’, Akmal bidas DAP Melaka

Terdahulu sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan '9 cawangan DAP Melaka' meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN Melaka akan datang.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh mengambil contoh rundingan pada PRN enam negeri lalu yang mana PH ‘amat susah’ memberikan kerusi dimenanginya kepada BN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) Melaka tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada DAP, tegas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘9 cawangan DAP Melaka’ meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN Melaka akan datang, Akmal menegaskan parti itu boleh ‘terus bermimpi’.

Akmal mengambil contoh rundingan pada PRN enam negeri lalu yang mana Pakatan Harapan (PH) ‘amat susah’ memberikan kerusi dimenanginya kepada BN.

“Kali ni senang-senang sahaja nak kerusi yang kami dah menang. Kerusi yang BN menang tidak akan sama sekali diberikan kepada PH.

“Untuk beri kamu (DAP) tidak sama sekali dan boleh teruskan bermimpi,” katanya di Facebook.

Sembilan cawangan itu adalah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 DUN Melaka, selari semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Usul ini bertujuan memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat yang terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi.

“Ia juga bagi mengukuhkan kestabilan politik dan kesinambungan dasar di peringkat negeri dan pusat,” menurut kenyataan itu.

DUN Melaka mempunyai 28 DUN dengan pecahan BN (21), PH (5) dan PN (3).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.