Pemuda PAS mahu terus himpun bantah RUU PSB

Pemuda PAS mahu terus himpun bantah RUU PSB

Timbalan Ketua Mohd Hafez Sabri berkata himpunan itu akan dianjurkan pada 4 Okt di ibu negara.

Pemuda PAS mendakwa pihaknya sudah melakukan siri meja bulat bersama penyelidik termasuk NGO bagi bincang RUU PSB termasuk hantar resolusi rasmi kepada KPKT.
PETALING JAYA:
Pemuda PAS tetap akan meneruskan himpunan membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) walaupun Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengajak duduk semeja berunding mencari penyelesaian.

Namun, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri, berkata pihaknya sebelum ini telah mengadakan siri sidang meja bulat bersama penyelidik, NGO serta individu masyarakat sivil (NGI) untuk membincangkan isu RUU PSB.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu turut membawa kepada penghantaran satu resolusi rasmi kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan semua Ahli Parlimen seluruh negara.

“Malah, satu resolusi rasmi telah dihantar kepada pihak KPKT dan semua Ahli Parlimen di seluruh negara di pejabat mereka masing-masing, termasuk Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga menteri KPKT,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

Menurutnya, usaha yang telah dilakukan termasuk memberi cadangan kepada bantahan seolah-olah tidak dipandang, termasuk oleh Menteri Nga Kor Ming.

Beliau berkata, justeru Pemuda PAS putus untuk meneruskan penganjuran himpunan pada 4 Okt sebagai isyarat jelas kepada Nga agar tidak bersikap ‘tone deaf’.

“Pemuda PAS berharap Dr Akmal dapat mempertimbangkan jemputan untuk turut sama dalam himpunan ini.

“Pemuda PAS juga sentiasa terbuka untuk menerima jemputan Umno bagi membincangkan perkara ini secara lebih mendalam,” katanya yang juga Adun Manjoi.

Terdahulu, Akmal menasihatkan Pemuda PAS agar duduk semeja mengumpulkan cadangan dan penyelesaian terbaik mengenai isu RUU PSB sebelum berhimpun membantahnya.

Kenyataan itu dibuat susulan jemputan pemuda PAS agar Umno turut serta dalam himpunan membantah RUU PSB awal bulan depan di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.