
Mayat Mohammad Wafiy Adrian Mohd Ridzuan ditemukan kira-kira 150m dari tempat dia dilaporkan hilang pada 9.40 malam, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Melaka Mohd Shahrom Laji.
Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu menerima panggilan pada 6.33 petang tadi, sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian.
“Setibanya di tempat kejadian, kami menerima maklumat daripada orang ramai bahawa tiga kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas ketika mandi di Pantai Puteri, namun dua daripadanya telah diselamatkan oleh orang awam,” katanya di tempat kejadian, lapor Bernama.
Mayat mangsa yang lemas diserahkan kepada polis manakala dua lagi kanak-kanak yang diselamatkan, Mohd Azrill Dis Abdul Hai dan Mohd Zakuan Nazram Mazariswan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Mohd Shahrom berkata, operasi malam ini membabitkan 44 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti Bomba Melaka, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, selain nelayan.