
Hazril Kamis, kini penolong pengarah di bahagian antipemerdagangan orang Bukit Aman, memberitahu Mahkamah Tinggi, kenyataannya sebelum ini dirakam oleh pegawai yang membantu pasukan petugas itu.
Katanya, beliau sedar pasukan petugas itu membuat kesimpulan beliau ‘tidak jujur’ dan telah berbohong dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai penyediaan senarai barangan yang dirampas dari rumah seorang suspek.
“Saya tak setuju. Saya yang sediakan senarai itu,” kata Hazril ketika memberi keterangan pada pendengaran kes saman yang difailkan oleh isteri Koh, Susanna Liew, terhadap dirinya, kerajaan dan beberapa pihak lain.
Pasukan petugas itu sebelum ini mengesyorkan agar Hazril dan pegawai lain, iaitu Khor Yi Shuen, Azizie Abd Hamid dan Shamzaini Daud, dirujuk kepada ketua polis negara untuk tindakan lanjut.
Liew mahu pihak berkuasa bertanggungjawab atas penculikan suaminya, yang menurutnya menyalahi undang-undang, dan atas salah laku pegawai awam
Jumpa barangan berkait keganasan, dadah
Hazril juga memberitahu mahkamah, selain gambar Koh , polis turut menemukan bahan berkaitan keganasan, bahan letupan dan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Hulu, Perak, pada 2017.
Katanya, beliau dan pasukan Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) ketika itu diarah menjalankan operasi di rumah suspek dikenali sebagai Fauzi Tajuddin, pada awal pagi 17 Jun 2017.
Fauzi mati ditembak ketika operasi tersebut, dan Hazril berkata, pasukannya merampas barangan yang ditemukan di rumah lelaki itu.
Beliau seterusnya mendakwa, Fauzi ialah ahli ‘sindiket’ yang terlibat dalam penyeludupan senjata.
“(Selepas suspek ditembak), saya jalankan pemeriksaan latar belakang ke atasnya,” kata Hazril.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Su Tiang Joo pada 14 dan 15 Mei.