
Ali Asra Abu Bakar berkata, beliau bertanya kepada anggota polis lain sama ada mereka membuat sebarang tangkapan di daerah Petaling Jaya pada 13 Feb 2017.
“Jika mereka ada tahan sesiapa, mereka akan fail laporan. Tetapi tiada laporan (mengenai sebarang tangkapan atau operasi) dibuat,” katanya hari ini.
Ali sebelum ini memberikan keterangan bahawa beliau memberitahu saksi yang melihat kejadian itu, Roeshan Celestine Gomez, penculikan Koh ‘mungkin suatu operasi polis, tetapi berkata beliau perlu semak dahulu sama ada sebarang tangkapan dibuat pada hari itu.
Pegawai itu memberikan keterangan pada perbicaraan kes saman yang difailkan oleh isteri Koh, Susanna Liew bagi pihak keluarganya, terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Koh.
Liew mahu pihak berkuasa bertanggungjawab atas penculikan suaminya, yang menurutnya menyalahi undang-undang, dan atas salah laku pegawai awam.
Ali juga memberitahu mahkamah, beliau telah ‘menyiasat latar belakang’ Koh sebelum mengambil kenyataan Liew malam itu.
“Saya jumpa satu laporan polis (dalam sistem) bahawa Pastor Raymond telah ‘diancam’ sebelum ini,” katanya.
“Saya nak tahu ada atau tidak sejarah yang mungkin membawa kepada kejadian (beliau diculik).”
Bagaimanapun, Ali berkata, beliau tidak ingat fakta dalam laporan yang mendakwa Koh ‘diancam’ itu.
Jumpa gambar pastor hilang?
Seorang lagi pegawai polis, Hazril Kamis, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman Liew, turut memberikan keterangan hari ini.
Hazril memberitahu mahkamah, beliau diarahkan oleh pegawai atasannya ketika itu, Huzir Mohamed, daripada Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang kini tidak lagi berfungsi, untuk mengetuai satu pasukan ke Baling, Kedah, bagi satu operasi polis pada awal pagi 17 Jun 2017.
Seorang lelaki dikenali sebagai Fauzi Tajuddin mati ditembak semasa operasi itu.
Hazril berkata, pasukan Stafoc diketuainya pergi ke rumah Fauzi di Pengkalan Hulu, Perak, beberapa jam kemudian.
“Kami jumpa beberapa gambar (di rumah Fauzi), termasuk gambar seorang lelaki Cina.
“Saya anggap sahaja lelaki (dalam gambar) itu ialah Pastor Koh,” katanya menambah, beliau memaklumkan Huzir mengenai gambar-gambar itu.
Koh hilang pada 13 Feb 2017 selepas dikatakan diculik di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Su Tiang Joo bersambung esok.