Thomas fail tuntutan pihak ketiga terhadap Idrus dalam saman Shahrir

Thomas fail tuntutan pihak ketiga terhadap Idrus dalam saman Shahrir

Dokumen berkaitan tuntutan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Khamis.

Shahrir Samad Tommy Thomas Idrus Harun
(Dari kiri) Shahrir Samad menyaman Tommy Thomas atas dakwaan pendakwaan berniat jahat, manakala Thomas pula memfailkan tuntutan indemniti terhadap penggantinya Idrus Harun.
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Tommy Thomas memfailkan tuntutan indemniti pihak ketiga terhadap penggantinya, Idrus Harun, berhubung saman pendakwaan berniat jahat difailkan bekas Ahli Parlimen Shahrir Samad.

Jika dibenarkan mahkamah, tuntutan itu membolehkan Thomas menuntut pampasan penuh atau sumbangan sebahagian daripada Idrus sekiranya beliau diarahkan membayar ganti rugi kepada Shahrir.

Dokumen dilihat FMT menunjukkan Thomas, yang memegang jawatan peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, telah memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi pada 30 Jan lalu untuk memfailkan tuntutan pihak ketiga tersebut.

Peguamnya telah menyerahkan kertas kausa kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

Permohonan itu yang difailkan bagi pihak Thomas pada September tahun lalu, menyatakan tuntutan tersebut dibuat mengikut Seksyen 10(c) Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Idrus berkhidmat sebagai peguam negara dari 2020 hingga 2023.

Perbicaraan saman Shahrir terhadap Thomas dijadualkan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong pada 3, 8 dan 9 Jun serta 15 dan 17 Julai.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman pada Disember 2023, dengan menamakan Thomas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas ketuanya Latheefa Koya, serta kerajaan sebagai defendan.

Pertikaian tersebut berpunca daripada cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas perdana menteri Najib Razak bagi pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Dalam samannya, Shahrir mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam, dakwaan yang dinafikan oleh Thomas.

Menurut Thomas, budi bicara untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan yang dikemukakan oleh agensi penyiasat seperti SPRM.

Beliau turut menyatakan beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020, manakala perbicaraan jenayah terhadap Shahrir hanya bermula pada 26 Julai 2022.

Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggugurkan pertuduhan terhadap Shahrir kerana gagal mengisytiharkan wang yang diterima kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai pendapatan bercukai, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.