Malaysia kurang peraturan lebih baik, tenaga hijau untuk tarik pelaburan

Malaysia kurang peraturan lebih baik, tenaga hijau untuk tarik pelaburan

Duta Azec Takio Yamada berkata, Malaysia mesti pertingkat prasarana untuk sokong cukup bekalan tenaga hijau dengan baik.

Takio Yamada
Duta Azec Takio Yamada berkata, Malaysia perlu wujudkan sistem kredit karbon bersama untuk mempercepat pelaburan hijau.
KUALA LUMPUR:
Malaysia mesti melaksanakan penambahbaikan dalam beberapa bidang untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, menurut duta Asia Zero Emission Community (Azec) Takio Yamada.

Azec yang dianggotai 11 negara Asia-Pasifik, termasuk Jepun, tekad meningkatkan kerjasama serantau untuk mencapai neutraliti karbon dan pelepasan karbon sifar bersih.

Dalam temu bual dengan FMT, Yamada berkata, walaupun prasarana fizikal Malaysia yang kukuh menjadi tarikan utama pelabur, kadar reformasi hijaunya yang perlahan masih menjadi kebimbangan ramai.

“Langkah-langkah baharu perlu diperkenalkan untuk mempercepat pelaburan. Antaranya, sistem kredit karbon bersama,” katanya.

Pada 2011, Jepun menubuhkan Mekanisme Pengkreditan Bersama (JCM) untuk mempromosikan teknologi nyahkarbon melalui pelaburan oleh entiti Jepun, dengan matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sambil menyokong pembangunan mampan di negara rakan kongsi.

Setakat 2025, JCM mempunyai perkongsian dengan 29 negara. Walaupun Malaysia bukan antara penandatangannya pada masa ini, negara dilaporkan sedang giat meneroka perjanjian perkongsian dua hala dengan Jepun.

Memandangkan pelaburan industri berteknologi tinggi sedang berkembang pesat di Malaysia, Yamada berkata, prasarana negara perlu dipertingkat untuk menyokong bekalan tenaga hijau yang mencukupi.

Walaupun Malaysia menyasarkan capai 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050, pada 2023, hanya 23% campuran penjanaan kuasanya terdiri daripada tenaga boleh baharu.

“(Langkah) memastikan terdapat prasarana yang cukup untuk menyokong bekalan tenaga hijau pasti akan antu Malaysia undang pelaburan asing baharu berorientasikan teknologi dan bernilai tinggi

“Jepun ingin bekerjasama dengan Malaysia laksana penambahbaikan dalam bidang-bidang ini,” katanya.

Perkongsian tenaga berpanjangan dengan Jepun

Yamada turut menekankan perkongsian tenaga yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun, khususnya membabitkan gas asli cecair (LNG).

“Bukan itu sahaja yang boleh kita lakukan bersama. Terdapat banyak peluang yang boleh kita terokai untuk bangunkan kapasiti bekalan tenaga hijau di Malaysia,” katanya.

Malaysia antara pembekal utama LNG Jepun, menyediakan 10.2 juta tan atau 15.8% daripada jumlah import LNG Jepun pada 2023.

Kebanyakan bekalan ini datang dari Sabah dan Sarawak, dengan Sarawak memainkan peranan yang semakin strategik dalam menyokong keperluan tenaga Jepun.

Sarawak melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak untuk mentransformasi negeri itu menjadi kuasa tenaga serantau, memanfaatkan rizab gas aslinya untuk memupuk perindustrian rendah karbon dan memenuhi permintaan peralihan tenaga global.

Selain itu, SEDC Energy Sdn Bhd, dengan kerjasama Sumitomo Corp dan Eneos Corp dari Jepun, menerajui Projek H2ornbill, bertujuan menghasilkan 90,000 tan hidrogen hijau setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.