Pengeluar alat ganti sokong Miti berhubung syarat kilang BYD

Pengeluar alat ganti sokong Miti berhubung syarat kilang BYD

Persatuan berkata insentif dan lesen harus selaras dengan objektif nasional, memperkukuh pembekal tempatan dan daya saing Malaysia.

BYD
Menteri Johari Ghani sebelum ini berkata BYD mungkin menilai semula rancangan untuk membuka kilang pemasangan tempatan di Tanjung Malim, Perak. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan Pengeluar Alat Ganti Automotif Malaysia (MACPMA) menyokong dasar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung pelaburan automotif asing, susulan kontroversi melibatkan pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD.

Persatuan itu berkata dasar Miti mengenai pelaburan automotif telah diterapkan secara konsisten kepada semua pelabur sekali gus menolak tanggapan BYD diberi layanan tidak adil.

Presiden MACPMA Chin Jit Sin berkata dasar-dasar itu menekankan eksport, penyetempatan dan integrasi dengan rantaian bekalan domestik, yang dianggap penting untuk memperkukuh asas industri Malaysia dan daya saing perdagangan negara.

Jelasnya, insentif pelaburan automotif dan lesen pembuatan harus selaras dengan objektif pembangunan negara, termasuk pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan dan pertumbuhan pengeluar alat ganti tempatan.

“Pendekatan ini kritikal untuk mengekalkan dan memperkukuh ekosistem pembekal yang telah dibina melalui dekad pelaburan dan pembangunan industri.

“MACPMA bersetuju dengan Miti bahawa dasar ini bersifat pembangunan dan bukan proteksionis, memastikan pelaburan asing melengkapi serta memperkukuh pemain industri tempatan sambil mewujudkan nilai lestari sepanjang rantaian nilai automotif,” katanya dalam kenyataan.

Chin menambah persatuan komited untuk bekerjasama dengan Miti dan pihak berkepentingan lain bagi mempromosikan pertumbuhan inklusif, daya tahan, dan daya saing jangka panjang industri automotif tempatan.

Semalam, Miti menjelaskan isu berhubung kemungkinan BYD menilai semula rancangan untuk membuka kilang pemasangan tempatan bagi operasi sepenuhnya (CKD) di Tanjung Malim, Perak.

Menteri Johari Ghani menegaskan dasar EV kementeriannya dikenakan secara sama rata, dan syarat yang dikenakan ke atas BYD tidak unik kepada pengeluar kereta China itu.

Johari menambah kerajaan kekal terbuka terhadap pelaburan automotif dari China, sambil menekankan bahawa 14 daripada 34 pengeluar kereta asing di pasaran Malaysia adalah dari China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.