Kembalinya Trump ke pentas Asean, apa pertaruhannya?

Kembalinya Trump ke pentas Asean, apa pertaruhannya?

Cerita di sebaliknya menjurus kepada kesan terhadap aspirasi Indo-Pasifik Washington, percaturan diplomasi Asean serta peranan Malaysia di rantau ini.

Anwar Trump ASEAN
Presiden AS Donald Trump bertukar-tukar pandangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis pemeteraian perjanjian perdagangan timbal balik AS-Malaysia. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Apabila Donald Trump tiba di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak Asean, tajuk-tajuk utama berita seakan-akan sudah tersedia: Presiden AS kembali ke pentas Asean selepas lapan tahun, menyaksikan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, serta menandatangani pakatan perdagangan baharu dengan Malaysia.

Namun di sebalik tajuk-tajuk utama itu, terdapat satu perhitungan strategik lebih mendalam, yang merentasi persaingan global, risiko politik domestik dan masa depan ekonomi Asia Tenggara.

Pertaruhan bagi Washington

Tatkala AS memberi tumpuan kepada hal ehwal dalaman dan perhatian dunia beralih kepada konflik di Eropah serta Timur Tengah, lawatan Trump merupakan satu langkah yang diperhitungkan. Washington sedar ia tidak mampu membendung pengaruh China yang semakin meningkat secara bersendirian – dan Asia Tenggara, yang berjiran dengan China, kekal sebagai medan persaingan utama.

Merangkumi laluan perkapalan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, sumber nadir bumi hinggalah kepada semikonduktor, rantau ini memegang elemen-elemen penting dalam percaturan Indo-Pasifik. Menambat hati Malaysia serta negara-negara serantau lain menjanjikan akses kepada rantaian bekalan alternatif, pasaran-pasaran baharu, serta rakan-rakan sekutu dalam orde global yang dinamik.

Meskipun AS memiliki keupayaan ekonomi yang besar, kelompongan yang ditinggalkannya sejak beberapa tahun lalu membuka ruang kepada China untuk memperkukuh pengaruhnya. Lawatan Trump, pada terasnya, ialah satu misi jaminan, bahawa AS masih hadir dan mahu kekal relevan.

Memetik kata-kata Trump: “Mesej saya kepada negara-negara Asia Tenggara adalah AS bersama anda 100%” dan sewaktu Sidang Kemuncak AS-Asean, beliau menegaskan ikrar bahawa AS berhasrat ‘menjadi rakan kongsi dan sahabat yang utuh untuk generasi-generasi mendatang’.

Pertaruhan bagi Malaysia dan Asean

Bagi Malaysia dan Asean, pertaruhannya lebih rumit dan menuntut percaturan yang pragmatik.

Kehadiran Trump mengundang bantahan, khususnya berhubung sokongan Washington terhadap kempen Israel terhadap Palestin. Protes tercetus di ibu kota, manakala media sosial membayangkan kegusaran umum berhubung sambutan terhadap seorang tokoh yang dianggap ramai sebagai bersekongkol dengan ketidakadilan global.

Seperti dikatakan penganalisis Jamil Ghani, “imej selaku tuan rumah kepada figura yang begitu memecah-belahkan, lebih-lebih lagi ketika simpati global terhadap Palestin sedang memuncak, boleh menyukarkan penyampaian mesej sidang kemuncak dan berisiko menenggelamkan perbincangan dasar yang lebih penting”.

Namun diplomasi serantau jarang sekali bersifat muktamad. Bagi Asean, dan Malaysia selaku pengerusi, logiknya adalah pragmatik. Tiada negara Asean mahu memihak, dan Malaysia bertegas dengan pendirian autonomi strategik serta sikap berkecualinya.

Berkecuali bukan bererti mendiamkan diri, sebaliknya bermaksud melangkah dengan cermat. Justeru, libat urus dengan AS, walaupun adakalanya tidak disenangi, tetap memberikan kelebihan rundingan dalam isu-isu tertentu yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan AS.

Penganalisis menegaskan, selain menjadi rakan kongsi keselamatan utama di rantau ini, AS juga merupakan antara rakan dagangan terbesar Malaysia dan Asean.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyentuh tentang kemakmuran bersama ini, menyatakan bahawa perdagangan dua hala Asean-AS mencecah USD453 bilion tahun lepas. Beliau berikrar untuk ‘memperbesar prospek hubungan ini’.

Pada masa yang sama, kepentingan negara dan keperluan harian rakyat perlu diambil kira, meliputi modal, pekerjaan, teknologi, serta kerjasama rantaian bekalan demi jaminan makanan, dan sebagainya.

“Penglibatan secara langsung dengan presiden AS memberi peluang keemasan kepada Asean untuk mengetengahkan kebimbangan berkaitan perdagangan, rantaian bekalan dan pelaburan pada peringkat tertinggi,” kata Jamil.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berkata, kehadiran Trump memberikan isyarat positif kepada pelabur dan menggariskan peranan Asean sebagai penghubung yang stabil dalam rantaian bekalan global.”

Manfaat buat Malaysia dan Asean

Dua hasil utama menjadi tumpuan lawatan ini. Pertama, Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, yang dimeterai di Malaysia, berjaya meleraikan kebuntuan sempadan yang telah berlarutan selama berbulan-bulan.

Walaupun kehadiran Trump menjadikan peristiwa itu tumpuan antarabangsa, hasil itu sebenarnya dicapai melalui diplomasi senyap Asean. Bagi Malaysia, ia suatu kemenangan kuasa lunak, manakala bagi Asean, ia membuktikan bahawa mekanisme serantau masih mampu membuahkan hasil.

Menurut bekas duta Malaysia Ilango Karappunnan, keupayaan Asean menghimpunkan semua pihak dan peranan Malaysia sebagai pemudah cara selaku pengerusi membawa impak yang besar.

“Kita sebenarnya cemerlang sebagai penganjur kerana mempunyai hubungan baik dengan semua negara,” katanya.

“Dan kita tidak gemar menonjolkan diri di media. Kita melaksanakan tugas senyap-senyap di belakang tabir.”

Ilango menambah, lawatan Trump memperkukuh profil diplomasi Malaysia pada waktu yang mustahak di rantau ini, dan ia suatu pencapaian yang membanggakan; Malaysia boleh berbangga kerana telah menjalankan peranannya untuk mengangkat martabat Asean serta memperkukuh kredibilitinya.

“Wacana global sering kali melabel Asean sebagai lemah, tidak efektif, dan hanya pandai bercakap. Tetapi saya percaya kita telah menepis kesemua tanggapan ini, setidak-tidaknya sepanjang tempoh Malaysia menjadi pengerusi (Asean),” katanya.

Turut diumumkan ialah satu pakatan perdagangan baharu AS-Malaysia, merangkumi pengurangan tarif sebagai pertukaran untuk pelaburan dua hala baharu serta memorandum persefahaman (MoU) mengenai mineral penting, yang mendorong Trump mengisytiharkan bahawa AS sedang memasuki ‘era keemasan’.

Sumber nadir bumi, yang amat penting bagi teknologi, daripada telefon pintar kepada semikonduktor, kian hangat direbutkan. Perjanjian ini membuka laluan kepada pempelbagaian, didorong oleh kebimbangan AS terhadap penguasaan China dalam rantaian bekalan penting.

Namun, keberkesanannya tertakluk pada pelaksanaan. MoU yang diumumkan pada sidang kemuncak adakalanya indah khabar dari rupa. Meskipun begitu, kedua-dua pencapaian ini meletakkan Asean dan Malaysia di bawah sorotan diplomasi dan, paling utama, memberikannya ruang memacu keutamaan ekonomi dan keselamatan mengikut lunasnya sendiri.

Kesimpulan

Kehadiran Trump di pentas Asean bukan sekadar menandakan kepulangannya ke persada serantau. Ia menjadi peringatan bahawa pengaruh di rantau ini tidak datang dengan mudah, sebaliknya perlu diraih, dirunding dan ditegaskan secara berterusan.

Bagi AS, ini percaturan untuk kekal dalam gelanggang persaingan. Bagi Asean pula, ia pembuktian bahawa gelanggang ini masih mempunyai peraturan, dan pengaruhnya cukup besar sehingga kuasa-kuasa utama perlu tunduk kepada syarat-syarat Asean.

Sama ada perkembangan ini akan membuahkan manfaat jangka panjang, hanya masa yang akan menentukan. Namun, satu perkara yang pasti: Pertaruhannya bukan sekadar simbolik. Hakikat itu kekal tidak berubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.