
Dalam wawancara bersama FMT menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47, perdana menteri New Zealand itu menyeru negara-negara terhimpit persaingan kuasa-kuasa besar agar berganding bahu mempertahankan ketertiban berasaskan peraturan yang stabil.
“Masa depan kita sebenarnya berpaksi di rantau Indo-Pasifik,” katanya merujuk persekitaran Asean yang lebih luas, termasuk kuasa-kuasa utama seperti China, India, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Rantau Indo-Pasifik kini berdepan pelbagai tekanan yang kian memuncak, termasuk persaingan AS-China yang semakin sengit, risiko yang meningkat di laluan perdagangan penting seperti Laut China Selatan, serta peralihan jajaran transnasional.
Ketika institusi utama seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bergelut mencapai kemajuan, Luxon menegaskan, kuasa-kuasa pertengahan perlu memainkan peranan lebih besar.
Langkah itu menurutnya bagi mengisi kelompongan dalam penetapan agenda global dan kepimpinan diplomasi.
“Sistem antarabangsa berlandaskan peraturan, yang telah banyak berjasa kepada negara-negara Asean sejak 70 hingga 80 tahun lepas, kini semakin goyah.
“Kita makin melihat bahawa kekuasaan kini lebih diutamakan berbanding peraturan,” katanya.
Bagi Luxon, jawapannya bukanlah berundur, sebaliknya lebih proaktif.
Beliau berkata, Asean perlu berusaha memperkukuh peraturan telah membolehkan negara-negara yang bergantung kepada perdagangan, seperti New Zealand dan Malaysia, menikmati kemakmuran.
“Saya percaya sememangnya wujud peluang yang amat besar untuk kita mengesahkan semula sistem berlandaskan peraturan,” katanya.
Beliau berkata, blok-blok seperti Kesatuan Eropah, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), dan Asean ‘memainkan peranan mustahak menentukan tingkah laku kita sesama sendiri di bawah tekanan dalam persekitaran dagangan global’.
Luxon menegaskan, bagi negara-negara kecil seperti New Zealand, peraturan-peraturan itu bukan sekadar idealisme tetapi soal kelangsungan.
“Amat penting bagi kami sebagai sebuah negara kecil untuk memiliki autonomi sendiri.
“Kami sentiasa cuba merintis model cara kerja yang baharu,” katanya.
Beliau memetik usaha awal New Zealand bersama Singapura dalam membantu membentuk apa yang kemudiannya menjadi CPTPP sebagai contoh.
“Inisiatif-inisiatif yang kami cuba terokai dan rintis ini – ada kaedah untuk kita laksanakannya sebagai satu rantau Asean,” katanya.
Bagi New Zealand dan banyak negara lain, usaha memelihara keamanan dan menjamin daya tahan ekonomi menjadi keutamaan tertinggi, lebih-lebih lagi selepas wabak Covid-19 menjejaskan rantaian bekalan dan mendorong kerajaan menilai semula dasar perdagangan serta sara diri.
“Asean mampu mengumpulkan negara-negara penting dunia dan menguatkan lagi kedudukan serta suara itu. Walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran, terdapat juga banyak peluang,” kata Luxon.
“Persoalannya adalah sama ada kita, selaku pemimpin Asean, akan bergerak seiring, bekerjasama dan benar-benar menterjemahkan peluang-peluang itu demi kesejahteraan rakyat.”
Keamanan, kemakmuran dan rakyat
Luxon berkata, fokus New Zealand pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 kelak adalah pada tiga teras utama, iaitu keamanan dan kestabilan, perdagangan yang menghadapi tekanan, serta hubungan rakyat dengan rakyat.
“Saya jangka kita akan banyak bincangkan tentang pemerhatian kita di rantau ini – bagaimana untuk kita pastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara,” katanya.
“Tumpuan utama juga akan diberikan kepada perdagangan dan pelaburan, serta bagaimana kita terus mempertahankan sistem berlandaskan peraturan ketika ekonomi sedang tertekan, dengan persekitaran dan dinamik perdagangan yang mencabar serta tidak menentu.”
Meskipun terpisah dari segi geografi dengan Asia Tenggara, masa depan ekonomi New Zealand terjalin erat dengan Asean, yang menjadi rakan dagang keempat terbesarnya dan menyumbang kepada satu daripada setiap empat pekerjaan di negara itu.
“Seiring dengan pertumbuhan berterusan Asean dan ekonominya, peluang untuk kami menjual produk dan perkhidmatan bernilai tinggi ke rantau ini akan jadi lebih luas.
“Namun, ini juga melibatkan pembukaan pasaran kami kepada Asean. Ia harus jadi satu perkongsian dua hala yang berasaskan saling hormat-menghormati,” katanya.
Luxon turut mengetengahkan sisi kemanusiaan diplomasi, menggesa agar pertukaran pendidikan, pelancongan, serta persefahaman antara rakyat diperluas.
“Faktor-faktor inilah yang akan mendorong lebih banyak pelaburan modal, perdagangan, dan pelbagai perkara lain,” katanya.
New Zealand akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.
Sidang itu menghimpunkan ketua-ketua kerajaan untuk membincangkan masa depan rantau Indo-Pasifik yang kini menjadi pusat penting ekonomi dan geopolitik dunia.