
Beliau berkata, sektor swasta dialu-alukan berbincang dengannya, jika mereka memerlukan sebarang bantuan untuk menembusi pasaran antarabangsa baharu.
Langkah itu menyusul tarif am 10% dikenakan AS ke atas import dari semua negara dan tarif khas ke atas kira-kira 60 negara, yang ditangguhkan sementara selama 90 hari. Malaysia dikenakan kadar tarif 24%.
“Mempelbagaikan destinasi eksport sedang dilaksanakan, tetapi kami akan terus beri bekalan kepada AS,” katanya selepas sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Getah Malaysia (MRC) di sini.
“Saya serah kepada sektor swasta. Jika mereka menghadapi sebarang masalah, mereka boleh datang dan berbincang dengan saya,” katanya ketika ditanya sasaran pasaran.
AS pasaran terbesar keluaran getah Malaysia setakat September lalu, menyumbang 31.4% daripada jumlah eksport produk getah bernilai RM3.43 bilion.
Destinasi eksport utama lain pada separuh pertama 2024 termasuk China, dengan eksport bernilai RM593.1 juta, Jepun (RM586.4 juta), Jerman (RM581.0 juta) dan Singapura (RM470.1 juta).
Jumaat lalu, kementerian itu berkata, semua pengeksport sarung tangan getah dilesenkan Lembaga Getah Malaysia hanya dibenarkan mengeksport sarung tangan getah diperoleh daripada pengeluar tempatan.
Katanya, langkah itu bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara, selain mencegah risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan dari negara lain.
Minggu lalu, Bloomberg melaporkan peniaga dalam talian berpangkalan di AS yang mengimport barangan dari China menerima banyak tawaran mencurigakan untuk mengalihkan produk melalui negara dikenakan kadar tarif lebih rendah atau dengan memalsukan nilai penghantaran.