Timbal balas negatif kepada PAS jika teruskan ‘Turun Anwar 2.0’

Timbal balas negatif kepada PAS jika teruskan ‘Turun Anwar 2.0’

PAS akan kelihatan keliru dan guna isu ART untuk kepentingan politik sekiranya tunjuk perasaan dilakukan, kata penganalisis.

HIMPUNAN_TURUN_ANWAR
PAS baru-baru ini umum ia tidak tolak kemungkinan anjur semula ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai reaksi terhadap ART.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis percaya tunjuk perasaan ‘Turun Anwar 2.0’ berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat akan beri timbal balas negatif kepada penganjurnya, PAS.

Azmi Hassan berkata PAS perlu melihat keadaan yang dihadapi Malaysia dalam rundingan dengan AS, sambil berdepan sifat Presiden Donald Trump dan ancaman tarif yang tinggi ke atas eksport negara.

Justeru, PAS akan kelihatan keliru malah menggunakan isu itu untuk kepentingan politik sekiranya tunjuk perasaan dilakukan, menurut penganalisis dari Akademi Nusantara itu.

“Bagi rakyat yang rasional, mereka faham kerajaan ataupun yang mengendalikan di belakang rundingan itu, iaitu penjawat awam, tidak akan menjual maruah dan kedaulatan negara,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PAS mengumumkan ia tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan semula ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai reaksi terhadap ART, atau mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan semakan kehakiman.

Pengumuman oleh Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari itu muncul meskipun kerajaan menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah dirujuk bagi memastikan ART tidak mengandungi sebarang peruntukan bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan undang-undang.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur. Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25% kepada 19%.

Sebelum ini pada Julai, Pemuda PAS menggerakan demo ‘Turun Anwar’ yang menurut anggaran polis disertai kira-kira 18,000 peserta, menurut laporan, berbanding dakwaan lebih 200,000 peserta hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.