Rugi RM5 juta sebulan, peniaga vape Melayu Terengganu rayu lanjut tempoh haram

Rugi RM5 juta sebulan, peniaga vape Melayu Terengganu rayu lanjut tempoh haram

Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu berkata tempoh kuat kuasa pada Ogos tidak cukup untuk peniaga habiskan stok dan mencari peluang niaga baharu.

Kerajaan Terengganu memutuskan pengharaman penjualan vape bermula 1 Ogos ini.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu mendakwa pihaknya berisiko rugi RM5 juta sebulan melibatkan 169 premis susulan pengharaman vape di negeri itu, selain merayu tarikh penguatkuasaan dilanjut.

Presiden Muhd Kamaruzaman Mahmud, berkata tempoh tiga bulan sebelum kuat kuasa tidak cukup untuk peniaga menghabiskan stok produk, termasuk mencari peluang perniagaan baharu.

Beliau turut berpandangan keputusan penguatkuasaan larangan berkenaan diumum secara mengejut dan terburu-buru tanpa mengadakan perbincangan awal mengenai tindakan tersebut.

“Peniaga produk vape memerlukan tempoh lama untuk membuat persiapan menutup perniagaan dan ceburi perniagaan atau pekerjaan baharu,” katanya menurut Utusan Malaysia di Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai perhimpunan aman membantah penguatkuasaan larangan penjualan produk vape.

Sebelum ini, media melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape mulai 1 Ogos.

Kamaruzaman mendakwa, keputusan kerajaan negeri itu adalah bertentangan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, iaitu akta yang sama digunakan untuk mengawal selia rokok.

Katanya, pengharaman total terhadap penjualan vape bercanggah dengan akta tersebut, yang bertujuan memperkenal kawal selia yang menyeluruh dan berkesan, bukan larangan mutlak.

“Larangan menjual vape bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan penggunaan oleh pelajar. Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan adalah lebih praktikal dan bertanggungjawab.”

Pada 18 April, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape atau rokok elektronik.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang kecil yang membolehkan kerajaan negeri menetapkan dasar penjualan peranti berkenaan di negeri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.