
Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata, pewartaan itu bertujuan mengelak sebarang pencerobohan pihak tidak berkenaan serta memastikan semua penemuan artifak di kawasan itu diselamatkan, sekali gus proses konservasi dapat dilaksanakan.
“Kawasan ini akan diwartakan sebagai zon larangan sehingga kerja-kerja penerokaan ini selesai kerana kawasan di sini adalah satu kawasan berharga bukan sahaja untuk Melaka tetapi juga negara.
“Penemuan ini penting dalam usaha kita memperbetulkan sejarah yang selama ini dipandu oleh catatan-catatan sejarah sebelum ini … banyak fakta sejarah kita mungkin telah diubah,” katanya selepas melawat tapak ekskavasi itu.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi memastikan kerja-kerja ekskavasi aset negara itu dapat dijalankan secara meluas, sekali gus lebih banyak penemuan diperoleh.
“Kerja-kerja ekskavasi dijangka mengambil masa panjang kerana ia melibatkan banyak proses dan ramai pihak terlibat bermula di peringkat cari gali, pakar arkeologi dan pakar sejarah … sudah tentu ia memerlukan bajet yang mencukupi,” katanya.
“Kami juga akan bantu dari segi bajet dan memberi kerjasama penuh kepada pihak JWN, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), kumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) agar misi ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata, semua artifak atau penemuan sejarah itu akan dikaji secara teliti untuk mengesahkan usia serta latar belakangnya, sebelum dipamerkan kepada orang ramai di muzium Perzim.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan sekeping papan kayu di Pulau Melaka, dipercayai serpihan sebuah kapal, yang akan membuka lembaran baharu dalam naratif sejarah dan kegiatan maritim di Melaka, sebelum ketibaan Parameswara.
Penemuan itu dipercayai daripada sebuah kapal milik golongan bangsawan berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, jauh lebih awal daripada sejarah rasmi Melaka yang bermula sekitar 1262 atau abad ke-13.
Kerja-kerja ekskavasi turut menemukan serpihan porselin dan duit syiling dipercayai digunakan pada era Sultan Mahmud Shah.