Industri bola sepak terlalu mahal, kerajaan negeri tak mampu tanggung Perak FC

Industri bola sepak terlalu mahal, kerajaan negeri tak mampu tanggung Perak FC

Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri lain juga tidak mampu tanggung kos terlampau tinggi biaya pasukan bola sepak saban musim.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri tidak mampu selesai masalah tunggakan gaji pemain Perak FC dihadapi pengurusannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Perak tidak mampu menyelesaikan kemelut kewangan membelenggu pasukan bola sepak Perak FC kerana kos pembiayaan terlampau tinggi, kata Menteri Besar Saarani Mohamad.

Beliau berkata, kos pembiayaan memerlukan perbelanjaan besar setiap musim.

“Permainan bola sepak di Malaysia terlampau mahal, tak tertanggung dek kerajaan negeri. Saya harap peminat bola sepak faham, bukan Perak sahaja tidak mampu, negeri-negeri lain pun tidak mampu.

“Kita juga tidak mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain Perak FC. Itu adalah atas tanggungan (pihak yang menaja Perak FC),” katanya menurut Bernama.

Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Riang Raya Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan Perak Bersama Menteri Besar di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Namun, beliau berkata pembangunan bola sepak masih diteruskan melalui Persatuan Bolasepak Perak yang berperanan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan belia.

“Kos (pembangunan bola sepak) amat berpatutan dan kerajaan negeri ada juga membantu membiayai tidak sampai RM1 juta pun,” katanya.

Semalam, Pengerusi Perak FC Azim Zabidi mengesahkan skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim akan datang kerana berdepan isu kewangan.

Azim berkata, pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan pasukan termasuk membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.