
Seorang pemimpin negeri terlompat-lompat di ruang orang kenamaan, berpelukan dan bertepuk tampar sesama orang kuat persatuan bola sepak negeri. Ia satu pemandangan yang sudah lama tidak terlihat di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi — antara yang dilabel ‘stadium berhantu’ musim lalu kerana kerapnya kehadiran tidak melebihi tiga angka.
Semua itu bagaimanapun berubah pada Ahad malam. Bersaksikan 25,550 penonton — pasukan lawan Selangor FC dikatakan turut membawa 10,000 penyokong — Negeri Sembilan FC (NSFC) mengembalikan aura kegemilangan silam selepas kali terakhir menjuarai liga pada 2006 dan Piala Malaysia pada 2011 dengan menarik minat ramai ke stadium semula.
Didorong oleh kekalahan terpuji 3-5 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama liga — kali pertama Harimau Selatan dibolosi tiga gol di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) — dan membelasah PDRM FC 5-0 dalam aksi Piala FA, pertemuan dengan Selangor FC bagai dinanti-nanti.
Beberapa hari sebelumnya Menteri Besar Aminuddin Harun tampil merayu sokongan beramai-ramai buat NSFC — selepas 4,600 orang hadir ketika menentang PDRM FC — untuk berdepan Selangor FC yang dianggapnya musuh tradisi.
Namun, selama 71 minit lamanya mereka ketinggalan kepada gol Richmond Ankrah (m-12) sebelum dua jaringan pemain gantian Mio Tsuneyasu (m-83, 90+3) hasil kebangkitan pasukan yang tidak mengenal putus asa mencetuskan suasana pesta di stadium berkenaan dengan kemenangan dramatik 2-1.
Aminuddin — berikrar ketika majlis pelancaran jersi pasukan 2 Ogos lalu bahawa NSFC tidak lagi akan menjadi pasukan belasahan musim ini dengan semangat baharu dan barisan pemain lebih berkualiti — tidak dapat menahan diri daripada meraikannya sejurus wisel penamat, begitu juga penyokong yang lewat meninggalkan stadium untuk menyertai pemain mengecapi satu kemenangan bermakna.
Hanya musim lalu, STAR mencatatkan purata kehadiran kurang daripada 500 orang, pertemuannya dengan Sri Pahang FC yang dimenangi mereka 2-1 pada 10 Januari cuma dihadiri 346 orang sewaktu NSFC terperosok di tangga kedua tercorot.
Pelantikan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih yang membawa bersamanya beberapa muka baharu dan import lebih berkualiti, antaranya Luis Enrique Nsue, Wai Linn Aung, Joseph Esso, Alex Agyarkwa, Jovan Motika dan Tsuneyasu selain mengekalkan Takumi Sasaki dan An Sang-su, menyaksikan pasukan melalui satu proses transformasi.
Keupayaannya mendahului JDT — pasukan yang nilai pasarannya meningkat kepada RM69.5 juta musim ini — 2-0 dan kemudian merapatkan kedudukan kepada 3-4 sebelum akhirnya tewas 3-5 benar-benar membuka mata ramai dan kejayaan terbaru menundukkan Selangor FC 2-1 itu akan terus menjadi bahan bualan buat beberapa ketika.
Perlawanan pada Ahad juga menyerlahkan ragam berlawanan kedua-dua jurulatih — Nidzam yang mengemudi Selangor FC musim lalu sebelum meletak jawatan pada 30 Okt 2024 disebabkan tekanan penyokong, dan Katsuhito Kinoshi yang didatangkan selaku pengganti selepas lebih tiga tahun menjadi penolong pengurus pasukan kebangsaan Serbia.
“Ini adalah aksi terburuk sepanjang hidup saya. Kami memiliki banyak peluang selepas menjaringkan gol (tetapi tidak menyudahkannya) hingga menyebabkan kami dihukum,” kata Kinoshi seolah-olah enggan mengambil tanggungjawab kecuali menyalahkan pemain atas kekalahan berkenaan.
Berbanding mengambil kredit termasuk keputusannya memasukkan Tsuneyasu dan Haiqal Danish Khairul Nizam serentak pada minit ke-68 yang berupaya mengubah wajah perlawanan, Nidzam lebih memuji kerja keras dan semangat juang pemain-pemainnya.
“Tiga mata pertama ini bagus untuk pasukan. Pujian buat pemain-pemain, sikap mereka betul dalam perlawanan ini. Proses ini proses yang panjang, ia bukan mengenai pasukan saja, ia mengenai keluarga besar Negeri Sembilan. Saya fikir pemain telah beri (sesuatu) kepada penyokong dan famili yang datang,” katanya.
Pertemuan di Paroi itu mengalihkan sedikit tumpuan aksi minggu ketiga Liga Super daripada JDT yang berhempas-pulas sehingga Kuching City FC kehilangan Yuki Tanigawa gara-gara kad merah pada minit ke-50 untuk pasukan pelawat itu meraih kemenangan 1-0 daripada jaringan Jairo da Silva (m-61) di hadapan 12,705 penonton — antara tertinggi dicatatkan di Stadium Negeri Sarawak.
Seramai 6,438 penyokong harus kecewa dengan kegagalan Sabah FC memanfaatkan kelebihan bermain di Stadium Likas apabila membenarkan Kelantan The Red Warriors (KTRW) membawa pulang satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan.
Lebih memendam rasa pastinya 5,425 penyokong yang menyaksikan kembalinya aksi liga buat kali pertama di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan sejak 2008 hanya untuk mereka diaibkan dengan kekalahan 5-0 kepada Terengganu FC — terima kasih kepada dua gol Careca manakala selebihnya daripada Nurillo Tukhtasinov, Yann Mabella dan Syahmi Zamri.
“Saya fikir tidak akan mudah bermain di Bandar Seri Begawan kerana sudah lama Terengganu tidak bermain di sana. Saya mahu pemain-pemain buat sejarah dengan menang di Brunei, saya sendiri tidak menyangka kami dapat menjaringkan hingga lima gol. Saya anggap ia rezeki kami dalam perlawanan ini,” kata ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali.
Kehadiran sekadar 2,498 orang di Stadium Bandaraya pula seakan-akan membayangkan ketidakyakinan penyokong Penang FC yang kalah perlawanan keduanya, kali ini kepada Kuala Lumpur City FC. Mengikat kedudukan 1-1 hasil gol Stefano Brundo (m-48), skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu yang tewas 0-3 kepada Terengganu FC pada 10 Ogos, rebah kepada gol Kamal Azizi (m-77).
‘Demam’ bola sepak bagaimanapun terus menjauhi PDRM FC — pasukan kelompok pertengahan yang memiliki kumpulan penyokong paling kecil di seluruh tanah air. Musim lalu, The Cops mencatat kehadiran terendah apabila ditonton 117 orang ketika melayani kunjungan Kuching City FC ke Stadium Selayang pada 11 Januari. Malah, mereka sudah kerap mencatat kehadiran bawah 1,000 orang — 631 ketika menentang Penang FC (25 Mei), 364 menentang KL City FC (16 Ogos), 416 menentang Sabah FC (21 September) dan 170 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC (18 Disember).
Tiada petanda jumlah itu akan meningkat apabila hanya 380 orang hadir menyaksikan PDRM FC terikat 0-0 dengan pendatang baru Liga Super, Melaka FC, Sabtu lalu yang menafikan ketua jurulatih pasukan pelawat itu, K Devan, kemenangan pertamanya.
Setakat ini, JDT yang mengetengahkan ramai import dan pemain warisan baharu, terus memimpin jumlah kehadiran dengan 32,777 orang dalam aksi sumbangsih menewaskan Selangor FC (8 Ogos) dan aksi dramatik dengan NSFC yang mengundang 12,674 penonton.
Satu-satunya aksi Terengganu FC menjadi tuan rumah dihadiri 6,251 penyokong ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol kepada PDRM FC (13 Ogos) untuk memaksa keputusan seri 2-2 sambil Selangor FC mendapat sorakan 4,260 penyokong ketika mengalahkan DPMM FC 3-0 pada 12 Ogos.
Ia akan menarik untuk diperhatikan jumlah kehadiran apabila NSFC melayani kunjungan Kuching City FC ke Paroi pada 29 Ogos, begitu juga jika Selangor FC mampu memenuhkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika menjadi tuan rumah kepada Terengganu FC pada Rabu ini.
Berbanding kebimbangan awal Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pentadbir liga terhadap kemerosotan kehadiran di stadium, ‘demam’ bola sepak sudah beransur kembali… tapi hanya buat pasukan yang menerbitkan keterujaan penyokongnya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.