
Menteri Besar Saarani Mohamad berkata pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran pelabur dari negara kuasa besar ekonomi global itu bagi meningkatkan penjanaan pendapatan negeri.
“Sudah tentu perjanjian dimeterai antara Malaysia dan AS ini menggembirakan negeri-negeri di Malaysia, termasuk Perak yang merupakan antara pengeluar NR-REE.
“Kalau sebelum ini kita berurusan (perdagangan) dengan China, sekarang dengan adanya perjanjian ini kita boleh luaskan urusan (perdagangan) dengan pelabur dari AS khususnya bagi sektor ini (NR-REE),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Zantat PolyCal Innovation Lab di Kawasan Industri Batu Kapur Keramat Pulai, hari ini.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai dengan AS tidak akan menjejaskan kedaulatan negara, sebaliknya Malaysia turut memperoleh keuntungan dari segi akses pasaran yang lebih baik berbanding yang dipersetujui sebelum ini.
Selain itu, Saarani berkata mana-mana urusan perdagangan dengan pelabur luar juga perlu melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang bertindak selaku agensi penyelaras.