PRK Ayer Kuning lancar tanpa insiden

PRK Ayer Kuning lancar tanpa insiden

Semua pihak terlibat beri Kerjasama yang baik sepanjang kempen hingga hari pengundian, kata polis.

VOTERS - PUBLIC - AYER KUNING
Polis rakam penghargaan kepada semua pihak kerana PRK Dun Ayer Kuning berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.
TAPAH:
Proses pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku setakat ini, kata Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin.

Semua pihak terlibat memberikan kerjasama yang baik sepanjang kempen hingga hari pengundian yang bermula 8 pagi tadi.

Menurut Hisam, 10 laporan polis diterima sepanjang tempoh tersebut termasuk satu laporan berkaitan barung yang didirikan berhampiran sebuah pusat pengundian.

“Barung ini sekarang sudah tidak dibenarkan (ketika pengundian), bagaimanapun atas nasihat polis, (barung) telah diturunkan,” katanya.

Hisam merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik sepanjang PRK DUN Ayer Kuning berlangsung.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Hisam meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bidor dan Sekolah Menengah Agama Daerah Batang Padang, kira-kira 2 petang.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran dibuka serentak pada 8 pagi bagi membolehkan 31,281 pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.