Pengundi kali pertama teruja ‘celup jari’

Pengundi kali pertama teruja ‘celup jari’

Ahmad Saufi Mhd Roslan tidak gugup walaupun kali pertama mengundi kerana sudah membuat persiapan sewajarnya sebelum memilih calon.

VOTERS - PUBLIC - AYER KUNING
Penduduk DUN Ayer Kuning menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu hari ini.
TAPAH:
Pengundi kali pertama Ahmad Saufi Mhd Roslan, 19, teruja dapat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Ayer Kuning hari ini.

Penuntut Institut Kemahiran Mara Sungai Petani, Kedah, hadir di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong bersama bapanya Mhd Roslan Ghazali, 52, pada 7.30 pagi.

Pelajar jurusan diploma pengeluaran perabot itu mengakui tidak gugup walaupun kali pertama mengundi kerana sudah membuat persiapan sewajarnya sebelum memilih calon bertanding pada PRK tersebut.

“Saya memilih untuk keluar awal hari ini kerana akan pulang ke Kedah menjelang tengah hari,” katanya ketika ditemui FMT.

Ahmad Saufi Mhd Rosla
Ahmad Saufi Mhd Roslan kali pertama mengundi pada PRK DUN Ayer Kuning.

Sementara itu, Roslan berkata tanggungjawab mengundi penting bagi memastikan kelangsungan masa depan golongan muda terutama di DUN berkenaan.

“Kelainannya kali ini, saya dibenarkan untuk celup dakwat guna jari kelengkeng memandangkan jari telunjuk ‘sudah tiada’ ekoran kemalangan di tempat kerja pada 2006,” kata pengusaha perabot yang sudah lapan kali menunaikan tanggungjawab itu.

Mhd Roslan Ghazali
Mhd Roslan Ghazali berkata tanggungjawab mengundi penting bagi memastikan kelangsungan masa depan golongan muda.

Dalam pada itu, Nor Shakina Bibi, 26, yang mengundi di SK Ayer Kuning berharap calon yang menang benar-benar bekerja untuk penduduk dan membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih baik.

Ahmad Haiqal Azhar, 23, yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pula memaklumkan pulang mengundi semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab kepada negara dan menyemarakkan demokrasi.

“Saya harap ada perubahan yang boleh dilakukan di Ayer Kuning dan negara kita…bukan hanya cakap kosong,” katanya.

Ahmad Haiqal Azhar dan Umum Ilmah Mohd Toha
Ahmad Haiqal Azhar bersama ibunya Umum Ilmah Mohd Toha yang berkerusi roda ke pusat menngundi.

Ibunya, Umum Ilmah Mohd Toha, 53, yang mempunyai masalah buah pinggang sejak lapan tahun lalu berkata penyakit dihadapinya bukan penghalang untuk memilih wakil DUN kawasan itu yang boleh bantu rakyat.

Seramai 31,281 pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada PRK Ayer Kuning hari ini yang membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohamad Yusri Bakir, Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia KS Bawani.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.