Tambah kerusi Sabah mampu atasi jurang pembangunan, kata penganalisis

Tambah kerusi Sabah mampu atasi jurang pembangunan, kata penganalisis

Arvin Tajari dari UiTM berkata peningkatan kerusi DUN kepada 94 dan 36 Parlimen wajar dipertimbang memandangkan keluasan Sabah serta populasi melebihi tiga juta penduduk.

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah
Masalah pembangunan tidak sekata di Sabah boleh diatasi jika wakil rakyat lebih fokus kawasan kecil, menurut penganalisis Arvin Tajari.
PETALING JAYA:
Cadangan menambah jumlah kerusi DUN dan Parlimen Sabah dilihat sebagai langkah rasional yang boleh membantu menyelesaikan masalah pembangunan tidak sekata di negeri itu, kata penganalisis.

Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata peningkatan jumlah kerusi DUN kepada 94 dan 36 Parlimen wajar dipertimbangkan memandangkan Sabah mempunyai keluasan negeri yang sangat besar serta populasi melebihi tiga juta penduduk, namun masih diwakili jumlah wakil rakyat terhad.

Menurutnya, ketidakseimbangan saiz dan jumlah penduduk antara kawasan DUN bandar dan pedalaman menyebabkan jurang pembangunan semakin melebar, sekali gus menjejaskan keupayaan wakil rakyat membawa suara dan keperluan rakyat secara berkesan.

Beliau memberi contoh perbezaan ekstrem antara DUN yang sangat kecil seperti Api-Api (4km persegi), Kukusan (8km persegi) dan Tanjung Batu (11km persegi), berbanding kawasan pedalaman yang menjangkau lebih 10,000 kilometer persegi seperti Kuamut, Nabawan serta Sukau.

Arvin Tajari
Arvin Tajari.

“Keadaan itu sering menyebabkan suara penduduk pedalaman terpinggir kerana keupayaan logistik dan pentadbiran Adun amat terhad, berbanding rakan mereka di kawasan bandar yang kecil dan padat.

“DUN Kuamut yang melebihi 10,000km persegi secara realistik boleh dipecahkan kepada tiga DUN, jika dibuat suara rakyat lebih mudah disalurkan dan pembangunan dapat diagihkan dengan lebih setara.

“Ini dapat menangani masalah pembangunan tidak sekata,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Adun Balung Syed Ahmad Syed Abas supaya kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu ditambah, sama seperti jirannya Sarawak yang telah meluluskan rang undang-undang terbabit, Julai lalu.

Wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mencadangkan kerusi DUN ditambah kepada 94 berbanding 73 kini manakala Parlimen pula ditingkatkan daripada 25 kepada 36.

Mengikut rekod, kerusi DUN Sabah telah ditambah kepada 73 sejak PRN Sabah 2020 berbanding 60 sebelumnya dan kawasan baharu antaranya Lamag, Pintasan dan Tulid. Namun kerusi Parlimen kekal 25.

Sementara itu, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) Syahruddin Awang Ahmad berpandangan pertambahan kerusi itu perlu disertai reformasi institusi yang serius.

Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

Jelasnya, masalah utama Sabah bukan kekurangan wakil rakyat tetapi kelemahan pelaksanaan dasar, ketirisan pengurusan sumber, kemiskinan tegar dan kegagalan pembangunan infrastruktur asas.

“Ini perlu diubah supaya pertambahan kerusi itu benar-benar berkesan,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) terbabit.

Syahruddin turut menjangkakan pelaksanaan penambahan kerusi dan persempadanan semula bakal mengubah dinamika politik negeri secara drastik, dengan potensi memberi kelebihan strategik kepada GRS, khususnya di kawasan luar bandar yang dijangka dipecahkan.

“Langkah ini boleh melemahkan pengaruh parti nasional kerana saiz kawasan undi yang lebih kecil lazimnya mengukuhkan sentimen regionalisme dan rasa kewilayahan.

“Persaingan antara GRS, Warisan dan parti pembangkang lain juga akan menjadi lebih kompleks kerana proses persempadanan semula lazimnya memihak kepada penyandang yang mempunyai akses kepada sumber kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.