Speaker Perlis umum 3 kerusi Adun PAS kosong

Speaker Perlis umum 3 kerusi Adun PAS kosong

Rus'ele Eizan berkata terdapat keperluan PRK diadakan berikutan terjejasnya sokongan terhadap PN.

Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan berkata status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga wakil rakyatnya terhenti keahlian PAS.

Beliau berkata walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu melebihi tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan untuk diadakan PRK tiga DUN berkanan berikutan terjejasnya sokongan terhadap kerajaan negeri semasa.

Katanya, status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Kita akan guna budi bicara maklum secara bertulis kepada SPR. Terpulang kepada SPR untuk memutuskan sama ada 3 DUN itu akan dibuat PRK atau tidak.

“Jika tidak diadakan PRK, DUN Perlis berpandangan kerajaan negeri tidak stabil kerana hanya mempunyai lebihan satu majoriti,” katanya dalam satu sidang media di DUN Perlis.

Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun di Perlis terhenti serta-merta.

Presiden Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat.

Mereka didakwa menyertai Adun Bersatu mengemukakan akuan bersumpah kepada Raja Perlis bagi menyatakan bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli.

Satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) di Perlis, Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, juga dipercayai mengemukakan akuan bersumpah kepada baginda.

Perikatan Nasional (PN) menguasai 14 daripada 15 kerusi dalam DUN Perlis, dengan PAS memiliki sembilan kerusi dan Bersatu lima, manakala PKR memegang baki satu kerusi melalui Gan.

Kehilangan sokongan lapan Adun bermakna Shukri kehilangan majoriti sokongan dalam DUN Perlis.

Bagaimanapun, pengosongan kerusi tiga Adun itu menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu.

Setakat ini, Shukri hanya mempunyai sokongan enam Adun PAS, manakala lima Adun Bersatu berada di blok pembangkang.

PH Perlis menyokong kerajaan negeri PN sedia ada untuk kekal sehingga tamat penggal demi kestabilan, namun tidak menyatakan sokongan secara jelas terhadap Shukri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.