
Beliau berkata rundingan berlarutan tanpa sebarang hasil konkrit bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip tadbir urus baik memandangkan bayaran itu adalah hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh.
Menurut bendahari Agung Umno Sabah itu, walaupun Perlembagaan membenarkan pelaksanaannya mengambil kira kedudukan kewangan Persekutuan, peruntukan itu tidak memansuhkan hak Sabah, sebaliknya hanya memberi kelonggaran dari segi masa dan kaedah pelaksanaan.
“Rundingan memang sebahagian daripada proses Perlembagaan, tetapi ia mesti berprinsip, tersusun dan berfokus kepada hasil,” katanya di Facebook.
Sesi rundingan seterusnya antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Sabah berhubung pemberian khas, dijadual berlangsung esok.
Salleh turut menggesa Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dilibatkan dalam proses rundingan kerana badan itu terlibat secara langsung dalam menuntut hak 40% melalui prosiding mahkamah.
“Rundingan tidak seharusnya terhad kepada saluran pentadbiran semata-mata seperti ketua setiausaha negara dan setiausaha kerajaan negeri,” katanya.
Beliau juga menggesa keputusan berkait hak 40% wajar dibentang, dibahaskan dan dipersetujui melalui wakil rakyat di DUN Sabah.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil negeri bagi 1974 hingga 2021.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 6 Dis lalu berkata mesyuarat pertama bagi membincangkan kaedah dan ‘parameter’ penyerahan tuntutan 40% hasil bersih diperoleh dari Sabah dijangka diadakan pertengahan bulan depan.
Beliau menegaskan Putrajaya tetap komited menyerahkan hak Sabah itu seperti dijelaskan dalam Jemaah Menterinya sebelum ini.