2 lelaki didenda bergaduh ketika pesta Songkran di Damansara

2 lelaki didenda bergaduh ketika pesta Songkran di Damansara

Dua lelaki itu masing-masing didenda RM300 dan RM350 selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat kacau ganggu.

Video tular memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan membaling kerusi di pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Ahad lalu.
PETALING JAYA:
Dua lelaki didenda masing-masing RM300 dan RM350 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan membuat kacau ganggu semasa pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Ahad lalu.

Ch’ng Jin Wei, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha manakala Ng Boo Sheng, 28, mengaku bersalah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada orang awam pada 11 malam, 20 April lepas semasa pesta Songkran.

Mereka didakwa Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Peguam Suraj Singh yang mewakili Ng memohon agar hukuman minimum dikenakan dengan mengambil kira ini merupakan kesalahan pertama dan pengakuan bersalah tertuduh di peringkat awal.

Katanya, Ng yang ditahan reman selama dua hari turut mengalami kecederaan pada mata dan kesan lebam.
Peguam Raj Preet Kaur yang mewakili Ch’ng pula merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana telah insaf atas perbuatan tersebut selain memohon maaf kepada semua pihak terlibat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ch’ng dikenakan denda RM300 manakala Ng didenda RM350.

Pada Selasa lalu, polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara yang turut tular di media sosial.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian dikatakan berpunca daripada berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi 56 saat memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan membaling kerusi dipercayai berlaku pada sambutan pesta itu di sebuah pusat beli-belah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.