Pemuda OKU ditemukan rentung dalam kebakaran

Pemuda OKU ditemukan rentung dalam kebakaran

Kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau malam tadi membabitkan mangsa berusia 25 tahun.

fire flames
Menurut bomba, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran serta kerugian masih disiasat. (Gambar Envato Elements)
SEREMBAN:
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori lembam rentung selepas rumah keluarganya yang merupakan struktur separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau, dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Muhamad Khairul Yahaya, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 25 tahun itu pada 10.57 malam.

“Ketika kejadian, hanya mangsa dan bapanya yang berusia 59 tahun berada di rumah. Berdasarkan maklumat, bapa mangsa ketika itu sedang tidur sebelum terjaga akibat terdengar beberapa letupan kecil dan melihat api bermula dari bilik mangsa.

“Bapa mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika api semakin marak, namun mengalami kecederaan ringan dengan melecur di bahagian kepala. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.