MIC setuju tubuh lembaga penasihat agama bukan Islam

MIC setuju tubuh lembaga penasihat agama bukan Islam

Timbalan Presidennya M Saravanan bagaimanapun berkata ia juga seharusnya melibatkan pemimpin politik untuk membawa isu berbangkit.

KUIL DEWI SRI PATHRAKALISMMAN
Semalam, Adun Sentosa RG Gunaraj dari PKR mencadangkan penubuhan lembaga penasihat agama bukan Islam bagi menangani isu melibatkan rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam.
TAPAH:
Pemimpin MIC bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan satu lembaga penasihat agama bukan Islam bagi menangani isu melibatkan rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam.

Timbalan Presidennya M Saravanan bagaimanapun berkata ia juga seharusnya melibatkan pemimpin politik untuk membawa isu berbangkit serta perubahan yang akan dilakukan.

“Cadangan penubuhan lembaga penasihat agama bukan Islam baik, tetapi apabila orang politik tidak dilibatkan, bagaimana untuk membawa isu?

“Apa pun kita serahkan kepada kerajaan untuk mencari kaedah terbaik siapa yang akan mengisinya.

M Saravanan
M Saravanan.

“Apa yang penting ada lembaga penasihat memantau, asalkan matlamat utamanya menangani isu bukan Islam untuk diselesai dengan baik dan harmoni,” katanya ketika ditemui menghadiri program bersama masyarakat India di Kampung Rahmat pada kempen PRK Ayer Kuning, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Adun Sentosa RG Gunaraj dari PKR supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan satu lembaga penasihat agama bukan Islam bagi menangani isu melibatkan rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam.

Katanya, lembaga itu boleh menyelaras pendaftaran rumah ibadat bukan Islam serta menjadi perantara dalam pertikaian melibatkan isu tanah dan zon guna tanah.

Gunaraj menambah lembaga itu juga boleh menyediakan garis panduan dan nasihat kepada pertubuhan agama, serta membantu merangka dasar inklusif yang menjamin keadilan kepada semua komuniti beragama.

Mengenai PRK Ayer Kuning, Saravanan berkata pihaknya menyasarkan hampir 80% masyarakat India akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Yusri Bakir.

“Saya di sini cukup lama, saya tahu pendirian masyarakat India dan majoriti mereka akan bersama BN,” katanya.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar dengan 56% daripadanya pengundi Melayu, Cina (22%) India (14%) dan lain-lain (8%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.