
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata pertikaian melibatkan kuil sering dibiarkan tanpa penyelesaian selama bertahun-tahun oleh PBT, sebelum memuncak apabila timbul aduan atau tekanan politik.
“Kemudian dinaratifkan sebagai isu agama, bukan kegagalan tadbir urus,” katanya di Dewan Rakyat ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Halimah bertanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu rangka kerja untuk mengurus aduan berkaitan rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, dengan garis masa dan tempoh respons yang jelas.
Beliau juga bertanya sama ada Putrajaya akan memperkenalkan pelan tindakan berperingkat yang boleh diguna pakai secara sama rata terhadap semua rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, bermula dengan tempoh tetap untuk pengesahan atau pemutihan sebelum penalti dikenakan.
Aaron berkata perkara melibatkan tanah dan agama sebahagian besarnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sambil menjelaskan setiap negeri sudah mempunyai jawatankuasa khas untuk menyelaras isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam dan hal tanah berkaitan.
Katanya, kementeriannya, akan terus bertindak sebagai pemudah cara dengan menggalakkan dialog dan sikap menahan diri, termasuk melalui perantara komuniti.
Halimah turut berkata pihak berkuasa tempatan perlu dibenarkan menjalankan tugas tanpa campur tangan ahli politik atau individu yang mencetuskan ketegangan sehingga menjadi titik konflik agama.
“Ini adalah isu pentadbiran semata-mata,” katanya.
Awal minggu ini, Exco Selangor Fahmi Ngah menyeru semua pihak bertenang berhubung isu kuil yang menceroboh tanah, sambil menegaskan Islam tidak mengajar umatnya bersikap konfrontasi atau mencetuskan konflik.
Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang mahu mengambil tindakan sendiri, termasuk mengumpul dana untuk merobohkan kuil yang didakwa dibina secara tidak sah.
Beberapa NGO merancang mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didakwa ‘haram’ itu.
Pemimpin Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), kedua-duanya komponen Perikatan Nasional (PN) serta DAP mengecam perhimpunan yang dirancang itu dan menggesa pihak berkuasa menghalangnya daripada diteruskan.