
Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat, termasuk yang tidak mengikut peraturan dan jalur hukum yang sah.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandar raya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan (robohkan) kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi. Sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga.
“Setiap tindakan nak dilakukan perlu ikut peraturan jalur hukum,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.
Tambahnya lagi, tapak pembinaan rumah ibadat termasuk kuil yang tidak sah, tidak boleh diiktiraf dan situasi itu perlu dibendung.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Saya tanya di India ataupun di negara China, di negara China, dia tidak izinkan.
“Di India tidak diizinkan, melainkan di tempat yang sah. Jadi biar ini jadi dasar kita faham. Ada satu kes katanya betul tak ada kebenaran, tapi dah ada 200 tahun telah dibina.
“Dia nak minta pertimbangan. Itu kes lain, kita beri pertimbangan tetapi jangan guna alasan sudah ada di bawah pohon itu wajib diluluskan,” katanya.
Menurutnya, dasar itu bukan perkara baharu tetapi kesinambungan pendirian kerajaan terdahulu merentasi pelbagai pentadbiran termasuk era pentadbiran BN, PAS,Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan perpaduan.
Katanya, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain tetap diberikan hak untuk diamalkan.
“Apakah wajar kita beri penghormatan kepada semua agama? Ya. Tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh.
“Kalau di atas tanah orang lain, tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tak boleh dijadikan sah.
“Tapi takkanlah kalau ada 1,000 kuil yang tidak mengikut kebenaran dan kelulusan tanah di wilayah persekutuan, semua nak dipertahankan?” katanya sambil menyeru mana-mana pihak tidak mempertahankan tindakan salah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ketegasan itu perlu dilihat dalam kerangka perpaduan nasional dan penyelesaian berasaskan undang-undang, bukan konfrontasi.
Katanya, tindakan hanya akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang namun rumah ibadat yang sah dan memerlukan proses naik taraf akan disokong untuk tujuan keselesaan.
“Sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang. Masjid dibangunkan ikut peraturan, begitu juga gereja dan rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.
“Bagaimana Batu Caves? Batu Caves itu sah, ada cadangan Batu Caves nak buat eskalator. Saya bincang dengan Menteri Besar Selangor semalam, kebetulan saya bersama dengan Sultan Selamgor tanya pendapat baginda.
“Batu Caves itu mendapat kelulusan. Ada yang cadangkan nak bina eskalator. Jadi pendapat saya, tak apa. Dia tak ganggu tanah orang, dia tak paksa, dia tak rampas hak orang lain,” katanya.