
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata aspek siasatan akan dilaksanakan sama seperti isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka depan sebuah akhbar.
“Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud di sebaliknya.
“Jadi, sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, kealpaan yang boleh mengundang rasa resah dalam kalangan masyarakat sebaik-baiknya (wajib) dielakkan,” katanya selepas perhimpunan bulanan KDN di sini.
Baru-baru ini, tular di media sosial paparan Jalur Gemilang di belakang pentas gerai sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur dilaporkan tiada simbol bulan sabit sehingga mencetuskan kritikan orang ramai.
Saifuddin Nasution ketika mengulas siasatan terhadap Sin Chew Daily berkata, siasatan terhadap akhbar itu akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan berdasarkan undang-undang.
“Respons (Sin Chew Daily) kita terima semalam dan kami akan teliti dulu dan kemudian mengambil tindakan ke atas akhbar itu.”
Pada 17 April lalu, media melaporkan ketua editor dan timbalan ketua penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka depan akhbar itu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan kedua-dua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, tetapi dibebaskan beberapa jam kemudian.
Akhbar berbahasa Cina itu dilaporkan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.
Isu itu dikritik pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan ia kesilapan teknikal tidak disengajakan.