Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi

Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi

Ahli Parlimen Pandan rujuk ucapan perpisahan Azam Baki tidak akan maafkan pihak melancarkan serangan peribadi terhadap diri dan keluarganya.

Rafizi Ramli-SPRM Serah Dokumen
Rafizi Ramli berkata dalam tempoh beberapa tahun lepas dia antara individu paling lantang mengkritik bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
PUTRAJAYA:
Rafizi Ramli bimbang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk melibatkannya dilakukan atas dasar emosi.

Bekas menteri ekonomi membangkitkan perkara itu merujuk ucapan perpisahan bekas ketua pesuruhjaya Azam Baki Selasa lalu, beliau tidak akan pernah memaafkan pihak melancarkan serangan peribadi terhadap diri dan keluarganya.

“Jadi, semasa ucapan perpisahan itu Azam menyebut dia tidak akan memaafkan orang yang menyerang atau mengkritik dia.

“Sebenarnya, itu adalah kenyataan yang ada kesan kepada SPRM kerana agensi penguat kuasa tidak boleh ada perasaan peribadi, (SPRM) mestilah nampak bebas dan kebal daripada kritikan kerana mereka mesti berpandukan kepada bukti dan undang-undang.

“Tambah dalam situasi saya apabila Azam menyebut dia tidak akan maafkan orang yang menyerang, maksudnya ada elemen emosi yang besar dalam kenyataan itu,” katanya.

Rafizi berkata, dalam tempoh beberapa tahun lepas dia antara individu paling lantang mengkritik Azam termasuk berkaitan pemilikan saham bekas ketua badan antirasuah itu.

“Kritikan itu bukan soal saya suka tak suka kepada Azam tapi untuk memastikan SPRM bukan saja bebas dan bersih tetapi mesti diyakini bebas,” katanya kertika ditemui media.

Terdahulu, Rafizi hadir ke ibu pejabat SPRM bersama peguamnya secara sukarela bagi menyerahkan dokumen tambahan setebal 28 muka surat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.

Pada 7 Mei lalu Rafizi selesai memberi keterangan selama empat hari kepada SPRM bagi membantu siasatan kes pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.

SPRM memaklumkan seramai 22 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kertas siasatan dibuka pada 16 Feb lalu susulan aduan daripada tiga NGO yang mendakwa perjanjian projek itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa masih ada saksi penting belum dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan memastikan keseluruhan fakta dapat dinilai secara menyeluruh termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan serta bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Aziz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.