
JPPM memaklumkan, serbuan pada 8.30 malam itu hasil risikan dan maklumat berkaitan kegiatan pertubuhan dikenali Persatuan Anak Rantau Indonesia (Pari) yang didakwa beroperasi tanpa pendaftaran sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta polis.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang wanita tempatan yang dipercayai memegang jawatan dalam pertubuhan itu,” kata JPPM dalam kenyataan.
Selain penahanan, pasukan operasi turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan dengan kegiatan pertubuhan termasuk dokumen pentadbiran, kain rentang program, kad keahlian, cap rasmi persatuan serta beberapa unit telefon bimbit dipercayai bagi tujuan pengurusan dan komunikasi pertubuhan.
JPPM memaklumkan semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut dengan permohonan reman dibenarkan empat hari bermula hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966.
JPPM memaklumkan kes itu menjadi peringatan bahawa mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa kelulusan dan pendaftaran sah boleh dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang.
“JPPM akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan demi memelihara ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.