Tiada rombakan Kabinet lepas pemilihan PKR, kata Anwar

Tiada rombakan Kabinet lepas pemilihan PKR, kata Anwar

Perdana menteri menolak kemungkinan Kabinet dirombak selepas selesai pemilihan PKR dengan menyatakan kerajaan berjalan seperti biasa.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pemilihan PKR adalah perkara dalaman dan tidak menjejaskan pentadbiran pusat dan kerajaan negeri.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet susulan pemilihan PKR, yang menyaksikan menteri dan beberapa timbalan menteri tewas di peringkat bahagian.

Bercakap kepada pemberita, Anwar menjelaskan pemilihan parti adalah perkara dalaman dan tidak akan menjejaskan pentadbiran pusat dan kerajaan negeri.

“Tidak ada (rombakan). Ini pemilihan parti. Ada apa-apa masalah boleh bangkit ini (pada) mesyuarat khas pada Rabu,” katanya.

Sejak dua minggu lalu, beberapa nama besar tumpas pada pemilihan bahagian dengan ahli akar umbi memilih pemimpin kurang dikenali.

Nik Nazmi Nik Ahmad, Akmal Nasir, dan Adam Adli antara nama besar kalah pada pemilihan itu.

Anwar berkata, beliau menilai menteri dan pegawai kerajaan berdasarkan prestasi individu, bukan melalui percaturan politik.

Walaupun beliau menolak rombakan Kabinet, wujud duluan sebelum ini dalam politik negara apabila Kabinet dirombak selepas pemilihan parti.

Selepas pemilihan Umno 2009, perdana menteri ketika itu Najib Razak merombak Kabinet dan melantik beberapa pemimpin muka baharu menjadi menteri.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Muhyiddin Yassin, yang dipilih timbalan presiden Umno dilantik timbalan perdana menteri, selain menerajui Kementerian Pendidikan.

Menteri pertahanan ketika itu diisi Zahid Hamidi, sekutu rapat Najib dan antara seorang naib presiden dipilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.