
Anwar juga menasihati mana-mana pihak supaya tidak berlebih-lebihan dalam isu itu dan biarkan proses undang-undang berjalan, lapor Berita Harian.
“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting. Jadi saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew Daily bagi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.
“Tetapi ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja di Bangkok atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Beliau ditanya mengenai isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Terdahulu, media melaporkan ketua editor dan timbalan ketua penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 8.20 malam tadi.
Sebelum itu, kedua-dua pengurusan kanan akhbar berkenaan dirakam keterangan selama tiga jam di Bukit Aman.
Ketua editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala timbalan ketua penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar tersebut.