
Dzulkefly berkata ada kerajaan negeri telah mengambil inisiatif namun Kementerian Kesihatan (KKM) pula mengambil pendekatan mengawal selia vape secara berfasa menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, lapor Berita Harian.
“Kerajaan negeri ada ruang dari sudut peruntukan, perundangan kecil mereka di peringkat negeri jadi saya kira itu adalah satu ketetapan yang dibuat atas dasar yang dibuat,” katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Ayob dilaporkan berkata, wujud pelajar sekolah seawal usia 13 tahun yang dikesan menggunakan vape mengandungi bahan terlarang yang seterusnya mampu mengundang ancaman baru terhadap negara.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata pihaknya sedia mempertimbangkan apa jua undang-undang baharu.
“Apa pun undang-undang, kita sedia buat pertimbangan, saya selalu tegaskan ada bukti-bukti baru kita sebagai kementerian dan kerajaan pastinya secara berterusan melihat (pertimbang),” katanya.