Hujah dengan isi bernas, bukan suara lantang, pesan Dzulkefly

Hujah dengan isi bernas, bukan suara lantang, pesan Dzulkefly

Naib presiden Amanah berkata, hebatnya perbahasan tidak diukur pada lantangnya suara seseorang, tetapi pada hujah yang bernas, berlandaskan ilmu.

Mohammad Sabu
Dzulkefly Ahmad (kanan) berkata, suara yang tenang apabila menyampaikan hujah yang bernas pasti akan didengari oleh para perwakilan.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Amanah Dzulkefly Ahmad mengingatkan para pemimpin parti itu agar tidak meninggikan suara semasa perbahasan, sebaliknya menumpukan pada usaha mengukuhkan lagi isi hujah mereka.

Dzulkefly berkata, hebatnya sesuatu perbahasan itu tidak diukur pada lantangnya suara seseorang, tetapi pada hujah yang bernas dan berlandaskan ilmu pengetahuan.

“Saya sering mengingatkan adik-adik saya, khususnya barisan kepimpinan yang bakal mengemudi parti ini supaya jangan tinggikan suara anda kalau tidak diperlukan, tetapi tinggikanlah penghujahan anda.

“Suara yang rendah tetapi berhujah dengan mantap tetap akan didengar oleh perwakilan,” katanya pada hari kedua Konvensyen Nasional Amanah 2025 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, hari ini.

Terdahulu hari ini, suasana di konvensyen parti itu menjadi tegang apabila beberapa orang perwakilan mendesak agar usul mereka berhubung pemilihan parti dibahaskan serta-merta.

Seorang perwakilan kedengaran menjerit mahukan usul pemilihan itu dibahaskan, bukan sekadar dibentangkan.

Keadaan disusuli dengan pertikaman lidah, dengan seorang lagi perwakilan menggesa agar pemilihan ditangguhkan hingga selepas 2026, manakala seorang yang lain berkeras agar ia diteruskan seperti yang dirancang.

Situasi menjadi lebih hangat apabila seorang perwakilan diiringi keluar oleh anggota sukarelawan parti. Beliau ditolak oleh seorang perwakilan lain, menyebabkan para sukarelawan terpaksa campur tangan untuk meleraikan pergelutan itu.

Dzulkefly menzahirkan rasa syukur kerana perbahasan usul pada konvensyen kali ini berjalan dengan penuh bersemangat, walaupun wujud sedikit pertikaian mengenai cara sesetengah usul digubal dan disusun dalam agenda.

“Saya kira perbahasan yang dibangkitkan oleh perwakilan daripada negeri dan sayap-sayap parti mempunyai kelainan serta nilai tersendiri,” kata menteri kesihatan itu.

Beliau turut mengingatkan para perwakilan bahawa keterbukaan dalam mendengar pandangan orang lain adalah salah satu ciri orang beriman, mengikut ajaran Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.