Kos tinggi, kelulusan perlahan bantut sasaran pengecas EV

Kos tinggi, kelulusan perlahan bantut sasaran pengecas EV

Penyedia tanggung kos pemasangan yang mahal untuk pengecas EV jenis DC yang memerlukan pelaburan besar bagi peralatan dan penyelenggaraan.

Sehingga 30 Sept, 5,149 unit pengecas EV awam dipasang di seluruh negara merangkumi 51% daripada sasaran 10,000 unit. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kos pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang tinggi dan proses kelulusan yang panjang untuk kemudahan pengecasan menjadi cabaran utama dihadapi kerajaan dalam mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas itu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata penyedia perkhidmatan menghadapi perbelanjaan tinggi apabila memasang pengecas arus terus (DC), yang memerlukan pelaburan besar dalam kedua-dua peralatan dan penyelenggaraan.

“Terdapat juga cabaran untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa melulus untuk proses pemasangan infrastruktur pengecas EV. Permohonan dan pertimbangan keputusan dan kelulusan mengambil masa yang lama melebihi enam bulan.

“(Ini) kerana melibatkan penyelarasan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Tenaga (ST), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di mana agensi-agensi ini mempunyai prosedur tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada persoalan Azli Yusof (PH-Shah Alam).

Azli bertanya mengenai jumlah pengecas EV yang telah dipasang di seluruh negara mengikut negeri, cabaran yang dikenal pasti, dan langkah kerajaan mempercepat sasaran pemasangan 10,000 unit menjelang akhir 2025.

Tengku Zafrul berkata, bagi menangani cabaran dalam pemasangan infrastruktur pengecas EV, kerajaan melalui PLANMalaysia telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) sebagai rujukan utama kepada semua pihak berkaitan seperti pihak berkuasa negeri, PBT, dan agensi teknikal.

Garis panduan ini memastikan proses perancangan dan kelulusan projek lebih jelas, seragam, dan teratur di seluruh negara, katanya.

“Melalui penyelarasan dan penyeragaman ini, tempoh masa untuk proses kelulusan pemasangan dapat dikurangkan kepada 14 hari, sekali gus menyokong usaha mempercepatkan pembangunan kemudahan pengecas awam EV.”

Lebih 5,100 unit pengecas di seluruh negara

Tengku Zafrul memaklumkan sehingga 30 Sept, 5,149 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, merangkumi 51% daripada sasaran 10,000 unit.

Daripada jumlah ini, 1,709 adalah pengecas DC, manakala baki 3,440 adalah pengecas arus ulang-alik (AC).

“Dengan nisbah jumlah kemudahan pengecas EV awam sedia ada kepada jumlah ‘Battery Electric Vehicle’ (BEV) iaitu satu kepada lapan, jumlah pengecas EV awam ini adalah mencukupi menampung kegunaan kira-kira 42,000 unit BEV bagi kenderaan penumpang yang telah berdaftar sehingga kini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.