
Ia dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar kepada Mahkamah Tinggi hari ini pada perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu.
“Kami memerlukan tarikh tertentu daripada peguam apabila dia (Ng) perlu hadir ke mahkamah (jika dia perlu memberi keterangan),” kata Kamal.
Peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata pihak pembelaan perlu bertemu Ng terlebih dahulu. “Kami akan memanggilnya sebagai saksi jika difikirkan sesuai,” tambahnya.
Tahun lepas, peguam Najib memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan berhasrat memfailkan permohonan untuk menemu bual Ng.
Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah New York selepas juri mendapati dia bersalah atas tuduhan rasuah pada Mac 2023.
Dia dihantar pulang ke Malaysia pada Oktober tahun itu untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha mereka mendapatkan semula aset 1MDB.
Menurut Bukit Aman, Ng masih dalam tahanan polis kerana lebih banyak maklumat diperlukan daripadanya dalam siasatan berterusan ke atas pemulihan aset 1MDB.