Jalur Gemilang silap: Polis tahan ketua editor, timbalan ketua penyunting Sin Chew

Jalur Gemilang silap: Polis tahan ketua editor, timbalan ketua penyunting Sin Chew

Kedua-dua individu ditahan untuk bantu siasatan dan akan dibebas dengan jaminan polis malam ini, kata ketua polis negara.

razarudin
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya turut memperoleh komputer serta barang berkaitan kes daripada pejabat Sin Chew Daily bagi siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR:
Ketua editor dan timbalan ketua penyunting Sin Chew Daily hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depan akhbar itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita tahan untuk siasatan dan bawa dua individu terbabit ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan selanjutnya.

“Kedua-dua individu akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pihak polis merakam keterangan kedua-dua individu itu selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala timbalan ketua penyunting terbabit pula adalah pereka grafik bertanggungjawab.

Razarudin berkata, setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.