7 ditahan berkait hasutan, ancaman di TikTok, FB

7 ditahan berkait hasutan, ancaman di TikTok, FB

Enam kes libat hantaran atau komen ditujukan kepada kerajaan dan pemimpin negara.

m kumar
Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar beri amaran orang ramai tidak salah guna platform media sosial untuk menghasut, mengugut, menghina atau cetus kegentaran awam.
PETALING JAYA:
Polis menahan tujuh lelaki tempatan berhubung hantaran berunsur hasutan, penghinaan atau ancaman di media sosial, dengan kebanyakannya ditujukan kepada pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata semua suspek yang membuat hantaran antara 17 Sept hingga 5 Okt direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati salah seorang suspek berusia 40an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 60an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan.

Enam kes melibatkan hantaran atau komen di TikTok yang ditujukan kepada kerajaan dan pemimpin negara, dengan satu kes menyentuh isu subsidi petrol.

Satu lagi kes melibatkan hantaran di Facebook didakwa berunsur hasutan serta kenyataan yang mengaibkan terhadap pihak tertentu.

Kumar memberi amaran orang ramai tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menghasut, membuat ugutan atau penghinaan, atau mencetuskan kegentaran awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak dikenal pasti melakukan perbuatan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.