
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu sudah dipersetujui dengan projek rintis berkenaan akan melibatkan beberapa MRSM terpilih.
“Buat permulaan, projek rintis ini akan melibatkan beberapa MRSM terpilih untuk melihat serta menilai keberkesanannya. Kami juga akan bekerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan bekas polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan warden,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beberapa kejadian buli berlaku di MRSM dengan kes terbaru melibatkan tujuh pelajar dinasihatkan dibuang.
Awal bulan ini, polis mengesahkan video tular berdurasi satu minit 31 saat memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan, pada pertengahan tahun lalu.
Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou, berkata polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Dalam pada itu, Asyraf berkata Bahagian Pendidikan Menengah Mara sedang menyediakan terma rujukan (TOR) jelas untuk setiap tanggungjawab dan bidang tugas warden.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin, dan akhlak pelajar MRSM terus diperkasakan, serta matlamat Mara untuk mencapai sifar buli di semua MRSM dapat dicapai,” katanya.
Sebelum ini, beliau memberi jaminan tiada kes buli akan didiamkan atau ditutup, dan sekiranya ada cubaan berbuat demikian kerana takut menjejaskan imej MRSM, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak pentadbir.