13 projek dilaksana pastikan bekalan air cukup di Sabah

13 projek dilaksana pastikan bekalan air cukup di Sabah

Projek dilaksanakan dalam setiap pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia meliputi bahagian Kudat, Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan dan Tawau.

loji rawatan air sabah
Sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang untuk bekalan air di Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di Sabah mencukupi, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya berkata projek itu dilaksanakan dalam setiap pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia meliputi bahagian Kudat, Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan dan Tawau.

“Projek ini bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk menampung keperluan dan menambah baik infrastruktur sedia ada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar berdaya mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar kerajaan oleh Yang di-Pertua Negeri melibatkan kementeriannya.

Projek itu antaranya Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kundasang, pembinaan LRA baharu Semporna, Skim Bekalan Air di Lahad Datu Fasa 1 dan penambahan kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.

Projek lain termasuk menaiktaraf sistem bekalan air Kota Marudu, penambahan kapasiti LRA Kogopon termasuk saluran paip utama, menaiktaraf sistem bekalan air termasuk Tangki Simpanan Sandakan dan pembinaan LRA Cinta Mata 2 Tawau.

Selain itu, menaik taraf LRA Kasigui bagi bekalan air Daerah Putatan, pembinaan LRA dan sistem agihan serta tangki simpanan bagi kawasan Sri Putatan Bikang Lahad Datu, Program Air Tidak Berhasil Nasional Pendekatan 1 Fasa 2 dan Skim Bekalan Air Ulu Padas Fasa 1.

“Pembinaan empangan air di Tawau itu melibatkan kapasiti 30 juta meter padu, manakala pembinaan LRA baharu di Kundasang, Semporna, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Putatan, Tawau dan Beaufort itu pula melibatkan jumlah kapasiti keseluruhan 630 juta liter air sehari,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Jahid Jahim ketika menggulung perbahasan melibatkan kementeriannya berkata 4,028 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dibina setakat 8 April lepas, dengan kos pembinaan antara RM80,000 hingga RM85,000.

Jumlah itu 90% daripada kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ, yang diberikan kepada penduduk Sabah kurang bernasib baik terutama miskin dan miskin tegar bagi 2022 hingga tahun lepas, manakala baki 10% atau 454 unit lagi sedang dalam perlaksanaan.

“Bagi kuota tahun ini, semuanya masih dalam peringkat prapelaksanaan. Bagaimanapun setakat ini kementerian saya tidak membenarkan pembinaan rumah atas air, termasuk di kawasan laut, sungai dan tebing sungai.

“Keputusan ini diambil berdasarkan pengajaran Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di atas air, yang akhirnya mengalami kerosakan serta roboh akibat hakisan dan arus air. Di samping itu, keselamatan penghuni perlu diambil kira dan kos pembinaan dijangka melebihi kos siling,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.