
Mustapha berkata, pihaknya juga telah mengadakan libat urus dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi memastikan bekalan air UMS mencukupi.
“Dari segi aduan daripada pelajar semakin kurang. Dan jabatan air juga telah dapat meningkatkan kapasitinya,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat.
“Sebelum ini, (kapasiti) tangki utama hanya di bawah paras dua juta liter sehari, tetapi sekarang ini, sudah sampai empat juta liter sehari.”
Pada 13 Jun lepas, KPT menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi isu bekalan air, tambahan kepada RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Tahun lepas, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk projek penggalian telaga tiub sebagai langkah alternatif bagi membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di semua kolej kediaman UMS
Semua projek berkenaan telah siap pada Julai.
Pada Mei, JANS berkata, UMS memerlukan lima juta liter sehari dan air yang dibekalkan ke Tangki R13 lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan itu.
Menurut jabatan itu, air di Tangki R13 tidak pernah kosong atau di bawah paras yang tidak membolehkan air dipam.