Adun Sabah cadang DUN tambah kepada 94, Parlimen 36

Adun Sabah cadang DUN tambah kepada 94, Parlimen 36

Ketika ini, kerusi DUN Sabah berjumlah 73 manakala Parlimen 25.

dun sabah
Mengikut rekod, kerusi dalam DUN Sabah telah ditambah kepada 73 sejak PRN Sabah 2020 berbanding 60 sebelumnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua wakil rakyat Sabah mencadangkan kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu ditambah, sama seperti jirannya Sarawak yang telah meluluskan rang undang-undang terbabit, Julai lalu.

Adun Balung Syed Ahmad Syed Abas dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencadangkan kerusi DUN ditambah kepada 94 berbanding 73 kini manakala Parlimen pula ditingkatkan daripada 25 kepada 36.

 Syed Ahmad Syed Abas.
Syed Ahmad Syed Abas.

Membangkitkan perkara itu pada sidang DUN Sabah, awal bulan ini, berkata Syed Ahmad berkata pertambahan itu perlu memandangkan keluasan negeri itu 73,904 kaki persegi dengan ada wakil rakyat bertanggungjawab menjaga kawasan seluas Pulau Pinang.

“Saya juga cadangkan dua DUN ditetapkan bagi setiap Parlimen, jika dikira secara kasar akan tingkatkan kepada 36 berbanding sekarang 25.

“Kalau ada 36 Ahli Parlimen, suara kita akan diangkat di peringkat persekutuan,” katanya yang yakin lebih banyak tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengikut rekod, kerusi DUN Sabah telah ditambah kepada 73 sejak PRN Sabah 2020 berbanding 60 sebelumnya dan kawasan baharu antaranya Lamag, Pintasan dan Tulid. Namun kerusi Parlimen kekal 25.

Sarawak, jiran Sabah pada sidang khas DUN 7 Jul lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) penambahan kerusi daripada 82 kepada 99, menggantikan RUU DUN (Komposisi Keanggotaan) 2014, yang mana menetapkan jumlah keanggotaan kepada 82, sejak 2015.

Penambahan itu bagi menampung pertumbuhan penduduk, perluasan kawasan bandar, dan keluasan kawasan luar bandar selain ‘meningkatkan akses kepada tadbir urus’ serta membawa kepimpinan lebih dekat kepada rakyat.

Sementara itu, Adun Liawan Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi turut menyokong cadangan menambah kerusi DUN dan Parlimen berkenaan, mengambil kira kepadatan penduduk selain keluasan kawasan yang diakuinya terlalu besar.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berkata pertambahan kerusi itu juga berpotensi membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan ke negeri itu.

“Apabila lebih banyak kawasan Parlimen atau DUN diwujudkan, pembangunan boleh dilaksanakan dengan lebih berfokus mengikut kawasan masing-masing.

Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi.
Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi.

“Bagi saya jika pertambahan kerusi dilaksanakan, fokus utama mesti kepada kemajuan dan pembangunan,” katanya kepada FMT.

Namun, wakil rakyat penggal pertama itu tidak menolak kemungkinan pertambahan kerusi turut memberi implikasi kepada landskap politik negeri, termasuk kelebihan kepada kerajaan sedia ada.

“Dari segi pengaruh politik, mungkin ada kelebihan kepada kerajaan sekarang, khususnya GRS berbanding parti-parti yang lebih kecil. Tetapi realiti politik hari ini sukar diramal,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.