
Perkara itu dimaklumkan pegawai tugas-tugas khas kepada Saifuddin, Omar Mokhtar A Manap apabila Muhammad Zubair Ismail gagal membuat permohonan maaf selepas tempoh tiga hari diberikan melalui surat tuntutan (LOD) tamat.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada (Zubair) jadi kita akan teruskan dengan saman,” katanya kepada FMT.
Menerusi LOD dikeluarkan Tetuan S N Nair & Partners bertarikh 4 April, Saifuddin menuntut Zubair memohon maaf.
Dalam tuntutan itu, Zubair pada 26 Mac didakwa membuat hantaran di Facebook ‘Tam Jebat’ mendakwa Saifuddin mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat KDA FC sehingga tiada pihak mahu menaja pasukan itu.
Dia turut mendakwa konon Saifuddin cuba menyelamatkan pasukan itu untuk menunjukkannya wira di mata rakyat.
Keesokannya pula, Zubair didakwa membuat hantaran video menggunakan akaun TikTok ‘@doubletree9977’ berkait isu sama.
LOD turut menyatakan fitnah itu menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan orang ramai terutama peminat sukan bola sepak terhadap Saifuddin.
Pada 26 Mac lalu, media melaporkan Saifuddin adakan perbincangan dengan KDA FC berhubung hala tuju pasukan bola sepak itu.
Saifuddin berkata, pertemuan dengan pemilik KDA FC Mohd Daud Bakar diadakan sebelum ini adalah kerana minatnya terhadap sukan bola sepak dan pasukan tersebut.
Sementara itu, Zubair ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung LOD tersebut.
Bagaimanapun, menerusi media sosial pada Rabu lalu, dia memaklumkan sudah dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk dirakam keterangan di Balai Polis Anak Bukit, Kedah.
Katanya, dia sedia memberikan kerjasama penuh berhubung siasatan berkaitan isu hantaran dibuatnya.